KUANTAN: Tindakan enam nelayan warga Vietnam menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan membawa padah apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang di perairan Tanjung Agas di sini malam tadi.
Kesemua mereka ditahan ketika mengendalikan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C yang dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mazlan Mat Rejab berkata, vesel terbabit ditahan kira-kira pukul 10.30 malam ketika anggota penguat kuasa sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Makmur, Op Mardof dan Op Tiris.
“Pasukan mengesan vesel dalam keadaan mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan. Hasilnya, vesel itu didapati sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 6.3 batu nautika tenggara Tanjung Agas. Ia adalah kurang daripada had 12 batu nautika yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
Mazlan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan dikendalikan enam kru termasuk tekong yang merupakan warga Vietnam berusia antara 31 hingga 53 tahun.
Jelasnya, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.
“Semua kru ditangkap dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia dan vesel serta hasil laut seberat kira-kira 100 kilogram dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN











