Jabatan Perhilitan giat usaha tangkap beruang matahari di Senawang

Jabatan Perhilitan giat usaha tangkap beruang matahari di Senawang

TANGKAP layar video yang menunjukkan seekor beruang matahari yang dilihat berkeliaran dan mengopak bumbung sebuah pondok di kawasan perumahan Taman Tuanku Ja’afar, Senawang, Seremban yang tular di media sosial baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menggiatkan usaha menangkap seekor beruang matahari yang dikesan kehadirannya di kawasan perumahan di Taman Tuanku Ja’afar di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya menerima maklumat kehadiran haiwan liar itu susulan penularan video di media sosial yang memaparkan beruang berkenaan mengopak bumbung pondok di kawasan terbabit.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam Ahad lalu.

“Kami akan menjalankan siasatan terperinci susulan maklumat terbaharu yang diterima berhubung kehadiran beruang matahari itu.

“Sekiranya didapati haiwan berkenaan masih berkeliaran dan menghampiri kawasan perumahan, kami akan mengalihkan perangkap ke lokasi yang lebih strategik bagi memastikan ia dapat ditangkap dengan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mat berkata, beruang berkenaan dipercayai haiwan sama yang sebelum ini dikesan menyerang sarang madu kelulut di Kem 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Senawang, yang terletak bersebelahan taman perumahan berkenaan pada 19 September lalu.

“Pihak kami memasang sebuah perangkap beruang di kawasan berkenaan pada 21 September lalu selepas menerima laporan haiwan itu merosakkan sarang madu kelulut yang diusahakan di dalam kem terbabit,” katanya.

Beliau berkata, jantina beruang berkenaan juga masih belum dapat dikenal pasti dan pengecaman morfologi hanya boleh dilakukan selepas haiwan itu berjaya ditangkap.

Tambahnya, kawasan hutan berhampiran kem berkenaan bersambung dengan Hutan Simpan Angsi yang menjadi habitat hidupan liar terbabit.

“Beruang matahari atau nama saintifiknya Helarctos malayanus merupakan spesies beruang paling kecil di dunia dan satu-satunya spesies beruang yang mendiami hutan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Spesies berkenaan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN