KEMAMAN: Seorang wanita di Kampung Ibok dekat sini, berdepan detik cemas selepas terlihat seekor beruang matahari berkeliaran di kawasan kediamannya kira-kira pukul 7.30 petang, semalam.
Roslina Embong, 56, berkata, dia yang membuka pintu rumahnya untuk menyalakan lampu beranda terkejut apabila melihat kelibat beruang berwarna hitam berada di pekarangan rumahnya, hanya kira-kira satu meter dari kedudukannya.
“Awalnya saya sangkakan anak lelaki saya sedang berada di luar rumah, namun bila objek itu bergerak-gerak, memang saya terkejut, rupa-rupanya bukan anak saya tapi beruang.
“Saya panik dan menjerit ketakutan bila nampak beruang tersebut sebab badannya memang besar dan rupanya juga menakutkan. Saya bergegas masuk ke dalam rumah dan menutup pintu kerana bimbang keselamatan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, hari ini.
Roslina berkata, haiwan liar yang dipercayai kelaparan itu mungkin berkeliaran di kawasan rumahnya untuk memakan durian berikutan suaminya, Zahari Hamzah, 58, membawa pulang buah tersebut dan meletakkannya di beranda rumah mereka sebelum kejadian.
“Saya lihat ada kesan tapak kaki beruang di beranda rumah. Mungkin haiwan itu mahu makan durian, namun tidak sempat.
“Beruang tersebut kemudiannya melarikan diri dengan memanjat pagar rumah saya dan cuba memanjat tembok kediaman jiran di hadapan rumah saya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah memasang sebuah perangkap di kawasan tersebut bagi menangkap beruang selepas beberapa jam aduan diterima.
“Kita harap penduduk yang terserempak dengan beruang segera menghubungi pihak kami bagi memudahkan usaha penangkapan dilakukan,” katanya. – UTUSAN











