Bencana Nepal: MASFIH bimbang ketidakselarasan pengurusan insurans 54 rakyat Malaysia hilang - Utusan Malaysia

Bencana Nepal: MASFIH bimbang ketidakselarasan pengurusan insurans 54 rakyat Malaysia hilang

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) mempersoalkan ketidakselarasan maklumat berkaitan pengurusan insurans membabitkan keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir besar di Nepal, Ogos lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jurucakapnya, Dr. Manivannan Rethinam berkata, persoalan itu timbul selepas beberapa keluarga dihubungi penyelaras insurans (adjuster) yang mendakwa dilantik syarikat insurans untuk mendapatkan maklumat dan membuat pengesahan berkaitan mangsa.

Menurutnya, berdasarkan penjelasan yang diterima MASFIH daripada Bank Negara Malaysia (BNM), daripada 55 nama yang diterima pihak insurans, hanya empat nama setakat ini dipadankan dengan rekod syarikat berkenaan, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan sebagai tuntutan.

“Bagaimanapun, apabila penyelaras insurans menghubungi keluarga, mereka menunjukkan surat rasmi syarikat insurans bertarikh 15 September lalu yang mengandungi 15 nama untuk tujuan siasatan dan pengesahan.

“Perbezaan antara 15 nama dalam surat itu dengan penjelasan bahawa hanya empat nama sudah dipadankan dengan rekod syarikat insurans menimbulkan persoalan yang wajar dijelaskan kepada keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manivannan berkata, MASFIH tidak membuat kesimpulan bahawa kesemua 15 nama berkenaan adalah pemegang polisi syarikat insurans terbabit, sebaliknya mahu penjelasan mengenai status nama yang disenaraikan serta skop pelantikan penyelaras berkenaan.

Katanya, persoalan turut timbul berhubung pengumpulan semula data peribadi apabila penyelaras insurans dikatakan memerlukan nombor kad pengenalan mangsa untuk tujuan padanan rekod.

“Sedangkan surat rasmi bertarikh 15 September itu sudah mengandungi nama, nombor kad pengenalan dan nombor pasport individu yang disenaraikan.

“Jadi, keluarga mahu tahu mengapa maklumat sama masih perlu diperoleh semula dan untuk tujuan apa ia digunakan,” katanya.

Menurutnya, keluarga juga wajar dimaklumkan pihak yang menerima atau memproses maklumat berkenaan serta langkah yang diambil bagi memastikan data peribadi mereka dilindungi.

Sehubungan itu, MASFIH meminta BNM menjelaskan sama ada semakan atau tindakan kawal selia sedang atau akan diambil berhubung perkara berkenaan, termasuk sekiranya didapati berlaku kelemahan atau ketidakpatuhan.

Dalam perkembangan berkaitan, MASFIH turut mahu BNM memainkan peranan sebagai penyelaras bagi memastikan keluarga mangsa mendapat penjelasan yang jelas dan tidak perlu berurusan dengan pelbagai pihak secara berasingan berhubung isu insurans dan kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN