KULIM: Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di sini yang didakwa berpunca akibat tekanan akademik, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.40 petang ketika waktu rehat sesi petang di sekolah berkenaan.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada seorang guru lelaki berusia 48 tahun yang memaklumkan kejadian itu selepas seorang pelajar didapati terbaring di lantai berhampiran tangga.
“Pengadu kemudian pergi ke lokasi dan mendapati mangsa masih sedar serta boleh bercakap sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.
“Hasil temubual polis dengan mangsa mendapati dia mengaku terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak, patah tulang muka, patah tulang rusuk pertama sebelah kiri, kecederaan kedua-dua paru-paru dan limpa serta patah tulang pelvis dan kedua-dua kaki.
Ujarnya, mangsa kini masih menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Kulim.
Tambah Syamsul, mangsa mendakwa dia sering membandingkan pencapaian akademiknya dengan kakaknya yang berusia 16 tahun dan belajar di sekolah sama.
“Menurutnya, peperiksaan akan berlangsung pada minggu depan dan dia bimbang tidak dapat memenuhi harapan ibu bapanya,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati seorang pelajar pernah melihat hantaran media sosial mangsa sehari sebelum kejadian yang menyatakan mengenai tekanan berkaitan pelajaran dan keluarga, namun hantaran itu telah dipadam. – UTUSAN









