KUALA LUMPUR: Tiga kawasan di Lembah Klang iaitu Putrajaya, Cheras dan Batu Muda merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) antara 20 tertinggi di seluruh negara setakat pagi ini.
Berdasarkan data terkini Jabatan Alam Sekitar (JAS), Putrajaya mencatatkan bacaan IPU 152, sekali gus berada di tangga ke-12 tertinggi, manakala Cheras merekodkan 137 di kedudukan ke-15.
Batu Muda pula mencatatkan bacaan 103, berada di tangga ke-18 dalam senarai berkenaan.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, yang bermakna kualiti udara di kawasan terbabit boleh memberi kesan kepada kesihatan, terutama golongan sensitif seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan atau penyakit kronik.
Dalam perkembangan sama, beberapa kawasan di Johor merekodkan bacaan lebih tinggi dengan Batu Pahat mencatatkan bacaan tertinggi negara iaitu 186, diikuti Kluang (169), Larkin (166), Segamat (165), Pasir Gudang (164) dan Tangkak (163).
Turut berada dalam kelompok 20 kawasan dengan bacaan IPU tertinggi ialah Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan 160, Seremban (156), Kota Tinggi, Johor (155), Pengerang (154) dan Bandaraya Melaka (153).
Selain itu, Rompin dan Balok Baru, Kuantan masing-masing merekodkan bacaan 152, manakala Indera Mahkota, Kuantan (124), Kemaman, Terengganu (121), Bukit Rambai, Melaka (103) dan Paka, Terengganu (103).
Perkembangan itu menunjukkan beberapa kawasan di Semenanjung kini berdepan kemerosotan kualiti udara, dengan sebahagian besar lokasi mencatatkan bacaan dalam kategori tidak sihat.
Orang ramai khususnya golongan berisiko dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengehadkan aktiviti luar sekiranya keadaan kualiti udara bertambah buruk.
Sebarang perubahan bacaan IPU di kawasan masing-masing boleh dipantau menerusi sistem pemantauan kualiti udara JAS.-UTUSAN











