WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka menghantar tambahan anggota tentera dan pesawat ke Israel dalam beberapa minggu akan datang sebagai persiapan menghadapi kemungkinan peningkatan ketegangan di Asia Barat.
Laporan media Israel pada Ahad menyebut kira-kira 3,000 askar AS kini ditempatkan di seluruh Israel, termasuk bagi mengendalikan sistem pertahanan udara yang merangkumi juruterbang, kru sokongan, anggota logistik dan kakitangan di ibu pejabat tentera.
Perkembangan berkenaan berlaku ketika AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya di Asia Barat, dengan beberapa laporan terkini turut menyebut penghantaran tambahan askar dan aset tentera laut.
Peningkatan kehadiran tentera AS itu berlaku ketika ketegangan antara Washington dan Teheran terus meningkat.
Sebelum ini, AS dilaporkan akan mempunyai lebih 20,000 anggota Tentera Laut dan Kor Marin dan ratusan pesawat selepas 9,000 lagi askar dihantar ke Asia Barat dengan menaiki kumpulan kapal ke rantau itu.
Pengerahan itu membabitkan sejumlah kapal perang dan berpotensi menyaksikan sehingga tiga kapal pengangkut pesawat AS berada di rantau itu menjelang akhir Oktober atau November.
Dalam perkembangan terbaharu itu, laman berita Walla melaporkan, tentera AS sejak beberapa minggu lalu menjalankan pertukaran anggota secara rutin apabila unit tertentu menamatkan penugasan mereka di rantau berkenaan.
Bagaimanapun, tambahan anggota dan pesawat dijangka dihantar tidak lama lagi sebagai sebahagian persiapan menghadapi kemungkinan peningkatan ketegangan di rantau itu.
Menurut pegawai itu, musuh Israel sedang memerhati pilihan raya di Israel dan AS serta mempertimbangkan serangan bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya tanpa mencetuskan perang lebih besar.
Pegawai itu berkata, musuh Israel sedar bahawa tindak balas negara itu kali ini akan lebih agresif.
Menurut laporan itu, tentera Israel terus membuat persiapan menghadapi kemungkinan peningkatan baharu dengan Iran atau kemerosotan mendadak keadaan keselamatan.
Sebahagian daripada perancangan itu memberi tumpuan kepada operasi yang boleh dilancarkan Israel sekiranya tercetus konflik lebih besar, termasuk mengenal pasti sasaran berpotensi di Iran.
Walla turut melaporkan kerjasama ketenteraan rapat antara Israel dan Komando Pusat AS (CENTCOM) diteruskan bagi membuat persiapan menghadapi kemungkinan serangan peluru berpandu Iran.
Perkembangan itu berlaku selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata negaranya masih bersedia meneruskan rundingan diplomatik bagi mencapai penyelesaian yang adil.
Iran sebelum ini mengemukakan tujuh syarat kepada AS berhubung pembukaan semula Selat Hormuz menerusi pengantaraan Qatar, dalam rundingan yang diadakan di luar persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada akhir September.
Presiden AS, Donald Trump, berkata Washington tidak menerima syarat yang dikemukakan Iran itu.
Dalam pada itu, Arab Saudi juga menghadapi serangan dari Houhi.
Ia berlaku selepas gencatan senjata rapuh selama empat tahun antara Yemen dengan kumpulan tersebut runtuh.
Riyadh terlibat membantu kerajaan Yemen bagi memerangi Houthi.











