SEPANG: Pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi pembakar semangat buat gandingan padel lelaki negara, Christian Didier Chin-Aidan Yunus untuk memburu emas pada Sukan SEA 2027.
Bagi Christian-Aidan, kegagalan membawa pulang pingat emas di Sukan Asia bukan pengakhiran, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk memburu pencapaian lebih tinggi pada masa akan datang.
Menurut Aidan, mereka kini dahagakan kejayaan selepas terlepas peluang untuk membawa pulang emas pada penampilan sulung di pentas Sukan Asia dan mahu menebus kekecewaan itu di halaman sendiri tahun hadapan.

“Kerana tidak dapat emas di Sukan Asia, sasaran seterusnya adalah di Sukan SEA 2027. Sasaran kami adalah emas untuk Malaysia. Kami kini dahagakan lebih banyak kejayaan.
“Kami akan kembali menjalani latihan dan bekerja keras supaya apabila Sukan SEA tiba tahun depan, kami benar-benar bersedia untuk merebut emas,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Selain itu, Aidan melihat tempoh kira-kira empat bulan beraksi bersama sebelum Sukan Asia sudah cukup untuk mereka menghadirkan pingat perak, namun lebih banyak masa diperlukan bagi membina keserasian untuk memburu emas.
“Saya rasa empat bulan cukup untuk mendapatkan perak, tetapi untuk emas, kami perlu berlatih bersama dengan lebih banyak lagi. Jika kami dapat bermain bersama sepanjang tahun depan, ia akan membantu kami membina keserasian yang lebih baik,” katanya.
Mengulas persiapan selepas ini, Aidan berkata mereka bercadang menyertai beberapa kejohanan di Asia dan mungkin Eropah bagi meningkatkan ranking dunia sebelum Sukan SEA 2027.
“Kami akan bermain dalam beberapa kejohanan di Asia dan mungkin Eropah untuk meningkatkan ranking dunia. Jadi, apabila Sukan SEA tiba, kami boleh mendapat status pilihan lebih tinggi dan kedudukan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Christian mengakui latar belakangnya dalam sukan tenis sedikit sebanyak membantu, namun kejayaan mereka di Sukan Asia turut didorong semangat berpasukan dan kepercayaan antara satu sama lain.
“Saya rasa ia memang membantu kerana kami mempunyai latar belakang itu, tetapi ia lebih daripada sekadar itu. Kami ada semangat, kepercayaan, semangat berpasukan, cara bekerja dan berkomunikasi serta saling menyokong,” katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu juga menyatakan mereka akan berbincang dengan jurulatih bagi menentukan perancangan seterusnya, termasuk menyertai kejohanan antarabangsa selepas ini.
Di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Christian-Aidan terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas kepada pilihan utama dari Qatar, Mashari Naif dan Rashed Naif, 3-6, 1-6 dalam tempoh 55 minit pada aksi final.
Aidan mengakui mereka tidak menyangka mampu melangkah ke final, namun berharap pencapaian itu dapat membantu mengembangkan sukan padel di Malaysia.
“Saya tidak menyangka kami boleh berada pada kedudukan ini. Apa yang kami lakukan untuk padel Malaysia diharap akan memberikan kesan untuk tempoh yang lama. Kami mahu melihat sukan ini terus berkembang,” katanya.-UTUSAN











