KUCHING: Sarawak menyasarkan ekonomi negeri berkembang kepada RM282 bilion menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, sasaran itu turut melibatkan usaha meningkatkan pendapatan isi rumah dan mewujudkan peluang ekonomi yang lebih baik untuk rakyat.
“Pencapaian sasaran berkenaan memerlukan Sarawak memperkukuh industri sedia ada serta membangunkan keupayaan dalam aktiviti ekonomi baharu dan bernilai lebih tinggi. Teknologi tidak boleh dipisahkan daripada PCDS 2030.
“Pendigitalan perlu membantu perniagaan meningkatkan produktiviti dan daya saing, manakala kesalinghubungan membuka akses kepada pasaran, perkhidmatan dan peluang,
“Kemajuan digital juga perlu dinilai berdasarkan kemampuan mewujudkan syarikat lebih berdaya saing, membangunkan kepakaran tempatan, menarik pelaburan dalam aktiviti bernilai tinggi dan menyediakan peluang kepada golongan muda,” katanya ketika berucap pada pembukaan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Pada masa sama, menurutnya, inovasi perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan keupayaan industri, sementara pembangunan kemahiran dan kepakaran tempatan perlu diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan pada masa hadapan.
“Kemajuan transformasi digital Sarawak juga tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah infrastruktur yang dibangunkan, sistem yang diperkenalkan atau teknologi yang diguna pakai.
“Sebaliknya, keberkesanan transformasi itu perlu dinilai berdasarkan hasil yang mampu diwujudkan, termasuk keupayaan melahirkan syarikat yang lebih berdaya saing, membangunkan kepakaran tempatan serta menarik pelaburan ke dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Ia turut merangkumi keupayaan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan muda Sarawak.
Sehubungan itu, ujarnya, transformasi digital negeri perlu dinilai berdasarkan sejauh mana teknologi dan inovasi mampu menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan daya saing industri serta kesejahteraan rakyat.
“Pendekatan berkenaan penting bagi memastikan pembangunan digital Sarawak bukan sekadar menghasilkan infrastruktur dan sistem baharu, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan bernilai tinggi menjelang 2030,” katanya- UTUSAN











