Demi anak, ibu bapa ambil cuti hadapi Matriks Pembelajaran

Demi anak, ibu bapa sanggup ambil cuti hadapi Matriks Pembelajaran

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang Matriks Pembelajaran Tahun empat yang bermula esok, ada ibu bapa sanggup mengambil cuti bagi membantu anak membuat persiapan terakhir sebelum menduduki pentaksiran berkenaan.

Malah, ada yang mengakui mereka lebih berdebar berbanding anak masing-masing, selain meluangkan masa mencari soalan latihan, membantu ulang kaji dan memastikan anak benar-benar bersedia.

Perkara itu dikongsi menerusi ruangan komen di aplikasi TikTok, dengan sebahagian ibu bapa menceritakan ragam anak masing-masing yang dilihat lebih tenang berbanding mereka menjelang peperiksaan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pengguna, Liananoordin berkata, dia sanggup mengambil cuti bagi membantu anaknya mengulang kaji pada saat-saat akhir.

“Saya sanggup ambil cuti hari ini kerana amat risau dan teruja untuk anak saya dan saya juga membantu anak mengulang kaji kali terakhir sebelum menduduki peperiksaan,” katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia sendiri berasa tertekan apabila anaknya dilihat lebih santai seolah-olah tiada apa yang akan berlaku.

Matriks Pembelajaran Tahun Empat merupakan pentaksiran bagi murid Tahun 4 yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mendapatkan gambaran tahap penguasaan murid dalam pembelajaran, selain membantu pihak sekolah mengenal pasti keperluan intervensi.

Peperiksaan tahun ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari mulai 6 hingga 8 Oktober, membabitkan beberapa mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Sementara itu, Nur Shafikah berkata, dia turut mengambil cuti bagi memberi tumpuan kepada anaknya sepanjang tempoh peperiksaan, malah mengakui sukar tidur kerana terlalu memikirkan persediaan anak.

“Saya amat risau sehingga susah hendak tidur memikirkan anak yang saya rasa masih kecil perlu menjalani peperiksaan seperti ini. Jadi, saya memilih untuk mengambil cuti dan memberi sepenuh perhatian kepada anak,” katanya.

Katanya, meskipun sudah berada dalam fasa berserah, dia tetap berharap anaknya dipermudahkan ketika menjawab soalan peperiksaan.

Perkongsian ibu bapa itu menunjukkan debaran menjelang peperiksaan bukan sahaja dirasai murid, malah turut dirasai ibu bapa yang sanggup meluangkan masa dan mengambil cuti bagi memastikan anak masing-masing membuat persiapan sebaik mungkin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN