KOTA KINABALU: Rundingan berkaitan baki perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum dimuktamadkan sedang diteruskan secara berstruktur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, daripada 29 perkara utama yang dipantau melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), 16 perkara sudah diselesaikan sepenuhnya.
Katanya, tiga perkara pula berada pada tahap penyelesaian interim atau sebahagian manakala 10 lagi masih dalam rundingan lanjut.
“Bagi perkara yang belum dimuktamadkan, rundingan antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak diteruskan secara berstruktur.
“Ini termasuk Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang kini mempunyai persetujuan interim pembayaran pada kadar RM1.5 bilion untuk Sabah dan Sarawak sementara formula pengiraan kekal dimuktamadkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, Mustapha berkata, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) sudah memulakan libat urus rasmi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 22 September lalu.
Menurutnya, pertemuan pertama itu meneliti hala tuju dan mekanisme pelaksanaan termasuk aspek Perlembagaan, perundangan, teknikal, persempadanan pilihan raya serta data yang diperlukan.
“Pada masa ini Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan Dewan Rakyat dengan cadangan meningkatkan nisbah perwakilan kepada 35 peratus,” katanya.
Beliau berkata susulan pertemuan berkenaan, beliau mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Khas di bawah Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 diwujudkan dengan penglibatan SPR, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), BHESS serta kerajaan negeri.
Katanya, jawatankuasa itu akan memperincikan kaedah dan garis masa pelaksanaan cadangan penambahan kerusi Parlimen berkenaan.- UTUSAN











