PETALING JAYA: DAP tidak boleh menjadikan masyarakat Cina sebagai tebusan politik melalui tanggapan bahawa mereka tiada pilihan lain selain terus menyokong parti itu.
Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, DAP sepatutnya mengakui bahawa mengekalkan sokongan masyarakat Cina kini semakin mencabar, apatah lagi untuk meraih sokongan besar daripada orang Melayu, India dan kaum lain.
Katanya, masyarakat Cina memberikan sokongan kepada DAP selama beberapa dekad kerana percaya parti itu mewakili aspirasi serta maruah politik mereka.
“Pada asasnya, DAP kekal sebagai sebuah parti berasaskan masyarakat Cina dengan hanya sedikit penyertaan orang Melayu dan India. Konsep multiras digunakan untuk mewujudkan gambaran bahawa parti itu tidak berasaskan etnik atau kaum.
“Namun hari ini, ramai mula mengemukakan persoalan yang berbeza: Adakah DAP sendiri telah meninggalkan masyarakat yang menyokongnya selama bertahun-tahun?
“DAP tidak seharusnya menipu dirinya sendiri dengan menganggap bahawa menukar gambaran daripada sebuah parti berasaskan masyarakat Cina kepada parti multiras secara automatik akan membolehkannya memperoleh sokongan yang lebih luas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, P. Ramasamy berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook seolah-olah hidup dalam dunia delusi politik dengan tanggapan bahawa parti itu menguasai kira-kira 80 peratus sokongan masyarakat Cina.
Katanya, angka berkenaan mungkin benar pada zaman kegemilangan DAP, namun tidak boleh dianggap sebagai gambaran pasti sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu pada masa ini.
“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang, adalah satu pencapaian besar sekiranya DAP berjaya memperoleh walaupun 40 peratus undi masyarakat Cina.
“Malah Pas, yang mempunyai sebahagian besar sokongan masyarakat Melayu-Muslim tidak berani mendakwa bahawa ia menguasai 80 peratus undi Melayu.
“Oleh itu, saya tertanya-tanya bagaimana Loke sampai kepada angka 80 peratus itu. Adakah ia berdasarkan kajian terkini mengenai trend pengundian di Malaysia, atau sekadar satu andaian politik?” soalnya.
Beliau turut mempertikaikan pandangan Loke bahawa konfrontasi perlembagaan antara kerajaan Negeri Sembilan pimpinan UMNO dengan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir merupakan rahmat tersembunyi bagi DAP.
Katanya, manfaat konfrontasi berkenaan kepada DAP masih belum dapat dipastikan meskipun naratif perpaduan Melayu mungkin telah tercalar akibat pertikaian itu.
“DAP tidak seharusnya mencipta keuntungan politik yang sebenarnya belum wujud. Sokongan politik tidak boleh dicipta melalui kenyataan dan angan-angan.
“Dahulu, DAP berjuang dengan begitu hebat untuk hak masyarakat bukan Melayu. Hari ini, bagaimanapun, parti itu terperangkap dalam perangkap politik akibat kegagalan melaksanakan apa yang dijanjikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kepimpinan DAP kini terikat secara struktur dan ideologi dengan kerajaan sehingga mempunyai ruang sangat terhad untuk kembali kepada politik konfrontasi seperti pada tahun-tahun awalnya.
Katanya, peletakan jawatan daripada Kabinet sahaja tidak menyelesaikan masalah politik lebih mendalam yang dihadapi DAP meskipun Loke telah mengumumkan hasrat meninggalkan pentadbiran.
“DAP tidak boleh pada masa yang sama menjadi tonggak kerajaan dan berpura-pura bahawa ia beroperasi dari luar kerajaan.
“Tetapi persoalan yang lebih penting bukanlah sama ada Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan. Persoalannya ialah sama ada beliau bersedia menerima tanggungjawab politik sebagai Setiausaha Agung DAP.
“Jika Loke benar-benar percaya bahawa DAP telah gagal dalam hala tuju politiknya berhubung isu Najib, beliau sepatutnya tampil ke hadapan dan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung bersama-sama pemimpin lain yang turut berkongsi tanggungjawab terhadap keputusan parti,” katanya. – UTUSAN











