KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menafikan dakwaan kononnya Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, diseret dari surau ke dewan semasa kejadian di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, kelmarin.
Beliau malah menegaskan segala aspek penyiasatan sedang diteliti oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak kementerian sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Saya mahu mengambil kesempatan untuk membetulkan ada maklumat yang sedang beredar mengenai kes ini dan ia adalah tidak benar.
“Sebagai contoh, ada dakwaan mengatakan mangsa diseret dari surau ke dewan tempat kejadian serta dakwaan cermin pecah di surau. Jadi, ini semua tidak benar. Saya minta semua pihak berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu.
“Kita sedang bercakap tentang seorang anak yang telah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa orang murid bawah umur yang sedang melalui proses siasatan. Jadi, jangan kita menambah luka dengan spekulasi,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Sabtu lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemukan maut disyaki dibunuh di dalam sebuah sekolah, di Yong Peng, Batu Pahat.
Mangsa ditemukan neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira pukul 5.30 petang.
Murid itu merupakan anak tunggal dan kehilangan ibunya ketika berusia lapan tahun akibat kanser hati. Ibunya yang juga seorang doktor pernah bertugas di Hospital Serdang, manakala bapanya bekerja sebagai jurutera di Bangi. – UTUSAN











