WASHINGTON: Jabatan Pertahanan atau lebih dikenali sebagai Pentagon pada Ahad mengesahkan laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) telah memindahkan semua pesawat pengebom B-1 dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Britain (RAF) Fairford, Britain.
Ia merupakan pangkalan udara Britain yang menjadi lokasi satu kejadian mencurigakan sehingga menyebabkan penduduk berhampiran dipindahkan.
Sekurang-kurangnya 12 pengebom AS yang ditempatkan di itu diarah secara tergesa-gesa oleh Pentagon untuk pulang ke pangkalan asal masing-masing pada Ahad.
Beberapa pesawat terbabit baharu sahaja tiba beberapa hari lalu di pangkalan yang menjadi hab utama bagi melancarkan serangan pengebom ke atas Iran, sekali gus mencetuskan tanda tanya berhubung keputusan penarikan pantas berkenaan.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan punca sebenar keputusan itu.
Namun, langkah terbabit dibuat beberapa hari selepas kewujudan tiga kenderaan mencurigakan dikesan berhampiran pangkalan RAF Fairford.
Lima lelaki warganegara Britain berusia antara 23 dan 25 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kesalahan bahan letupan dan penyediaan tindakan keganasan sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Seorang lagi warganegara Britain-Iran berusia 25 tahun turut ditahan di London atas pertuduhan sama dan dibebaskan dengan jaminan manakala polis antikeganasan meneruskan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Andy Burnham mendedahkan wujud petunjuk kukuh penglibatan Iran dalam insiden terbabit tetapi rejim berkenaan menafikan dakwaan berkenaan.
Siasatan mendapati plot letupan terbabit berjaya ditumpaskan selepas salah seorang suspek bertindak menghubungi polis sendiri.
Susulan panggilan kecemasan itu, polis bersenjata bergegas ke lokasi bagi menahan kesemua suspek dan menanggalkan pakaian mereka kerana dikhuatiri memakai ves bunuh diri.
Sumber kerajaan tidak menafikan penarikan pengebom berkenaan adalah tindak balas langsung terhadap insiden itu atas faktor keselamatan tentera.
Pegawai AS memaklumkan bahawa pergerakan pesawat dipengaruhi oleh amaran ancaman sama yang muncul tiga minggu lalu tetapi butiran khusus dan tahap kecemasan melonjak dalam tempoh 24 jam lalu. – AGENSI











