KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Cat Farish menyarankan kepada mana-mana pelakon agar mendaftarkan hak milik intelek (IP) wajah mereka.
Katanya, perkara itu sebagai persediaan untuk menuntut bayaran royalti sekiranya wajah mereka digunakan dalam naskhah kecerdasan buatan (AI) di masa akan datang.
“Saya daftarkan IP wajah saya. Jadi selepas ini, mana-mana pihak perlu membayar jika menggunakan wajah saya untuk naskhah AI.
“IP ini ada royalti. Selebriti antarabangsa seperti Kim Kardashian pun telah daftarkan IP bagi wajahnya.
“Kita tak mampu lawan teknologi AI, tapi kita boleh raikannya,” kata Cat ketika ditemui sewaktu majlis tayangan Siluman: Dendam Harimau Jadian baru-baru ini.
Mengulas mengenai bayaran pelakon yang melakonkan naskhah AI, Cat memaklumkan jumlah bayaran yang diterima adalah sama dengan penggambaran sebenar.
“Jumlah sama. Malah pelakon filem Siluman: Dendam Harimau Jadian ini akan menerima bayaran bagi IP wajah mereka. Jadi bayaran diterima nilainya adalah dua kali ganda,” katanya.- UTUSAN











