'Kami ingat hanya empat mangsa' - saksi - Utusan Malaysia

‘Kami ingat hanya empat mangsa’ – saksi

AMBULANS membawa kanak-kanak lelaki yang cedera parah untuk dipindahkan dari Hospital Gerik ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: “Mula-mula kami ingat hanya empat mangsa, rupanya ada seorang lagi kanak-kanak perempuan terhimpit di bawah ibunya.”

Itu detik cemas dilalui seorang pemandu lori, Khairul Anuar Abd. Manaf, 42, yang membantu mengeluarkan mangsa berusia lingkungan tiga tahun dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai pada mulanya mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki sebelum menyedari mangsa berada di ruang lantai kenderaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa kami cuba membantu mangsa, kami nampak seorang wanita tersepit di bawah dan terdapat kanak-kanak lelaki di sebelahnya. Jadi, kami bantu bawa keluar kanak-kanak lelaki itu terlebih dahulu.

“Tidak lama selepas itu, baru kami dengar bunyi seperti nafas ditarik perlahan. Bila kami periksa, rupanya ada seorang kanak-kanak perempuan berada di bawah badan wanita itu.

“Ketika kami bantu bawa kanak-kanak itu keluar, dia masih bernyawa dan nampak ada pergerakan namun tidak lama selepas itu senyap (meninggal dunia),” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.

Menceritakan kembali kejadian itu, Khairul Anuar berkata, dia yang memandu lori muatan telur ayam cuba mengelak kereta berkenaan dengan menghala ke kanan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana terdapat sebuah kenderaan lain yang sedang melalui laluan tersebut.

Katanya, dia kemudian menyangka kenderaan itu akan terbabas ke kiri atau masuk ke parit sebelum tiba-tiba menghala ke arah lorinya.

“Memang nak mengelak, tapi tiba-tiba kereta itu menghala ke arah kami. Brek memang sudah ditekan, tetapi tidak boleh buat apa-apa sehingga terdengar bunyi dentuman kuat,” katanya.

Khairul Anuar berkata, dia tidak pernah berdepan kemalangan seteruk itu sepanjang pengalaman memandu lori selama 12 tahun, apatah lagi sehingga mengorbankan nyawa.

“Tak pernah (kemalangan) macam ini, biasanya kemalangan biasa-biasa saja. Yang ada mangsa meninggal macam ini pun tak pernah,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 1 petang itu, empat individu yang menaiki kereta Perodua Axia maut selepas terlibat nahas dengan sebuah kereta jenis Proton Persona dan sebuah lori.

Ketika kejadian, Proton Persona dan lori masing-masing bergerak dari arah Jeli ke Gerik, manakala Perodua Axia datang dari arah bertentangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN