500 sekolah ditutup esok susulan tunjuk perasaan pelajar sekolah menengah - Utusan Malaysia

500 sekolah ditutup esok susulan tunjuk perasaan pelajar sekolah menengah

SEJUMLAH pelajar terlibat dalam protes di Paris. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Sehingga 500 sekolah di seluruh Perancis akan ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya pada Isnin susulan tunjuk perasaan pelajar sekolah menengah yang menggegarkan negara itu, kata Menteri Pendidikan, Edouard Geffray.

Pengajaran akan digantung sepenuhnya atau sebahagiannya di kira-kira 400 hingga 500 sekolah menengah kerana syarat keselamatan tidak dipenuhi, kata Geffray, pada Ahad.

Beliau berkata bahawa 24 sekolah telah dibakar atau dirosakkan sejak gerakan itu bermula.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pelajar di sekolah menengah Perancis yang dikenali sebagai lycee berkata, pengajian mereka terjejas akibat ketidakhadiran guru yang tinggi, tempoh persekolahan terlalu panjang dan kemudahan sekolah  daif, selain beberapa rungutan lain.

Geffray berkata, jumlah sekolah yang terjejas pada Isnin dijangka setanding dengan angka pada Jumaat.

Gerakan itu bermula di sebuah sekolah di Paris pada 17 September tetapi berkembang menjadi tunjuk perasaan di seluruh negara minggu lalu, yang di beberapa tempat dicemari keganasan membabitkan pelajar dan pasukan keselamatan. 

Pasukan keselamatan kadangkala menggunakan gas pemedih mata dan baton untuk menyuraikan pelajar.

“Terdapat aktivis khususnya daripada golongan kiri  yang menyusup masuk ke dalam gerakan pelajar sekolah menengah, merampasnya daripada pelajar sendiri dan terlibat dalam keganasan melampau,” dakwa Geffray.

“Jelas sekali, keadaan ini menimbulkan risiko kepada kakitangan dan pelajar kami,” katanya, sambil mendakwa 78 kakitangan pendidikan telah cedera, sesuatu yang tidak pernah kami lihat sebelum ini.

“Mereka sengaja disasarkan kerana mereka merupakan kakitangan sistem pendidikan kebangsaan,” tambah Geffray.

Penganjur menggesa tunjuk perasaan diteruskan pada Selasa, dengan alasan kerajaan masih belum mengambil langkah konkrit.

Lebih 5,000 orang, 85 peratus daripadanya bawah umur, telah ditahan sejak gerakan itu bermula.

Pengkritik menuduh polis menggunakan tindakan keras secara berlebihan.

Seorang remaja berusia 16 tahun ditahan pada Ahad kerana menyerang seorang guru di bandar La Ciotat, selatan Perancis. 

Guru berusia 59 tahun itu disimbah petrol dan dipukul ketika berada di kawasan berhampiran tunjuk perasaan pelajar sekolah menengah pada Jumaat.

Video yang tular di media sosial menunjukkan seorang individu berpakaian serba hitam dengan wajah bertopeng menyimbah cecair ke arah guru berkenaan, yang kemudian memegang mukanya ketika sebatang pokok berhampiran terbakar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN