SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli yang bergelut dengan prestasi sejak tiba di Litar Motegi, mempamerkan kebangkitan setelah melengkapkan aksinya di kedudukan ke-12 pada Grand Prix Motosikal Jepun, semalam.
Bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, anak jati Terengganu itu mencatat perlumbaan 17 pusingan tersebut dengan catatan masa 33 minit 06.817 saat (s).
Keputusan tersebut masih mengekalkan Hakim Danish di kedudukan ketujuh dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 105 mata selepas menokok empat mata.
Perlumbaan yang telahpun memasuki pusingan ke-16 itu menyaksikan David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP menjuarai saingan dengan lakaran masa terpantas 32 minit 45.544.
Pendahulu kejuaraan dunia, Mark Quiles dari pasukan CFMoto Gaviota Aspar Team muncul selaku naib juara (32:45.590s), manakala, pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe di tempat ketiga (32:48.282s).
Hakim Danish berkata, secara keseluruhan perlumbaan di Motegi sangat sukar kerana sebanyak tiga kali dia terjatuh dalam sesi latihan pada Jumaat dan juga Sabtu.
“Tapi apa-apapun di dalam perlumbaan tadi, saya cuba untuk untuk menamatkan saingan dengan kedudukan terbaik dan saya menamatkan aksi di kedudukan ke-12.
“Semasa awal perlumbaan saya bermula dengan baik, tetapi selepas itu saya bergelut untuk mengejar pelumba yang berada dalam kelompok hadapan yang agak laju,” katanya yang memulakan perlumbaan dari grid ke-21.
Menurut pelumba berusia 19 tahun itu, tidak mudah untuk dia mengekalkan kedudukannya kerana persaingan sengit sentiasa hadir daripada pencabar lain.
Jelas Hakim Danish, selepas ini, fokusnya pada GP Indonesia dan akan cuba memulihkan kecederaan bahu yang dialami gara-gara insiden yang menimpa dirinya pada sesi latihan. – UTUSAN











