PUTRAJAYA: Lennart Jasch melengkapkan minggu gemilangnya di Malaysia apabila dinobatkan juara keseluruhan (GC) Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang melabuhkan tirai menerusi Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya, semalam.
Pelumba Tudor Pro Cycling Team itu menamatkan saingan lapan peringkat dengan catatan keseluruhan 28 jam 57 minit 2 saat, sekali gus mengatasi pencabar terdekatnya, Abel Balderstone (Caja Rural-Seguros RGA) dengan kelebihan 26 saat.
Rakan sepasukannya, Jan Castellon pula menduduki tempat ketiga keseluruhan, 42 saat di belakang Jasch.
Lebih manis, pelumba kelahiran Jerman berusia 26 tahun itu turut merangkul Jersi Polka Dot (Raja Bukit) selepas mengumpul 45 mata, mengatasi Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu Team) dengan 41 mata dan Castellon (26 mata).
“Saya sangat gembira. Ia satu lagi hari yang amat sukar. Atas kertas mungkin nampak mudah tetapi ia sama sekali tidak mudah, terutama tujuh atau lapan kilometer terakhir.
“Ia hari yang sangat sukar dan saya amat berterima kasih kepada pasukan serta segala sokongan yang diberikan sepanjang minggu ini. Kami semua patut sangat bangga dengan prestasi yang dilakukan,” katanya.
Bekas atlet luncur ais turut berkata, kejayaan tersebut hadir di luar jangkaannya selepas Jasch tiba di Malaysia sebagai pelumba profesional baharu dengan sasaran awal sekadar menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik.
“Saya datang dengan harapan tinggi dan matlamat lebih tinggi, tetapi untuk benar-benar menang di sini sesuatu yang kami sendiri tidak percaya.
“Kami fikir mungkin saya boleh berada dalam kelompok lima terbaik. Kemudian selepas saya menang pada peringkat kedua, kami mula sedar mungkin saya adalah pelumba paling kuat,” katanya.
Menurutnya, kejayaan di LTdL26 amat bermakna kerana ia merupakan gelaran GC profesional pertama dalam kariernya selain kemenangan pertamanya di luar Itali dan Eropah.
“Ini sangat bermakna. Ia adalah GC profesional pertama saya dan kali pertama saya memenangi perlumbaan di luar Itali.
“Ini juga kali pertama di luar Eropah. Jadi, ia sesuatu yang sangat istimewa dan pasti akan kekal dalam ingatan saya sepanjang hayat,” katanya.
Jasch sebelum ini turut mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama menjuarai peringkat yang berakhir di Gunung Jerai sebelum melengkapkan minggu gemilangnya dengan kejuaraan keseluruhan.
“Sekarang saya tahu saya boleh menjadi pelumba GC yang bagus. Saya berharap perkara ini sebelum ini tetapi saya perlu membuktikannya,” katanya yang menyarung Jersi Jingga sejak Peringkat 2 hingga tamat perlumbaan.
Dalam Peringkat 8 sejauh 188.3 kilometer (km), Matteo Malucelli (XDS Astana) muncul juara selepas mencatat masa 4 jam 5 minit 17 saat, mengatasi Riley Pickrell (Modern Adventure Pro Cycling) yang merekodkan masa sama.
Christian Rees (Team Picnic PostNL) melengkapkan podium di tempat ketiga.
Malucelli turut dinobatkan Raja Pecut selepas mengumpul 64 mata, diikuti Pickrell dengan 57 mata dan Nil Gimeno (22 mata).
Dalam klasifikasi Pelumba Asia Terbaik, Yuhi Todome (Aisan Racing Team) muncul pelumba terbaik dengan catatan keseluruhan 29 jam 4 minit 23 saat.
Pelumba Malaysia terbaik pula menjadi milik Tsen Ren Bao yang menamatkan saingan di tempat ke-25 keseluruhan, dengan perbezaan masa 11:5s di belakang Jasch. – UTUSAN
KAPSYEN
Lennart Jasch











