Malaysia-Thailand perkemas pengurusan bencana rentas sempadan - Utusan Malaysia

Malaysia-Thailand perkemas pengurusan bencana rentas sempadan

AHMAD FAHMI AHMAD SARKAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SONGHKLA, THAILAND: Malaysia dan Thailand akan memperkemaskan pengurusan bencana rentas sempadan, mengambil iktibar banjir besar melanda selatan Thailand, tahun lalu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, beberapa siri mesyuarat telah dilaksanakan antara Konsulat Malaysia bersama pihak berkuasa Thailand dan agensi berkaitan dalam mengukuhkan aspek penyelarasan sekiranya bencana sama berulang.

Beliau berkata, situasi banjir tahun lalu mendedahkan banyak kelemahan dalam sistem dan perancangan sedia ada yang perlu ditambah baik bagi memastikan bantuan disalurkan lebih berkesan serta tersusun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kedua-dua negara bersetuju mewujudkan satu mekanisme yang memudahkan penyaluran bantuan ketika berlaku bencana sama ada di Thailand atau kawasan utara Malaysia.

“Kalau berlaku banjir di Malaysia, ada mekanisme yang akan memudahkan bantuan datang daripada Thailand dan sebaliknya jika berlaku lagi banjir besar di Hatyai atau kawasan lain di selatan Thailand,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ahmad Fahmi berkata, beberapa gudang juga telah dikenal pasti oleh pihak Konsulat Malaysia bersama pejabat Gabenor Songkhla untuk digunakan sebagai pusat penyimpanan bantuan sekiranya berlaku bencana selepas ini.

Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan barangan bantuan yang disalurkan dapat dikumpulkan di lokasi penyimpanan sebelum diagihkan kepada mangsa.

“Selepas ini, apabila barang bantuan dari Malaysia sampai, kita akan terus hantar ke gudang yang dikenal pasti dan pengagihan kepada mangsa akan diselaraskan dengan pihak berkuasa Thailand.

“Badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu juga perlu mendapatkan panduan pihak berkuasa Thailand bagi menggelakkan pertindihan dan pembaziran masa,” katanya.

Ujar beliau, mengikut rekod, seramai 6,222 rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dari Hatyai semasa banjir besar tahun lalu namun jumlah keseluhan dianggarkan sekitar 7,000 orang.

Katanya, selain bas, syarikat logistik dari Malaysia yang beroperasi di kawasan sempadan turut menghulurkan bantuan menggunakan lori kontena bagi membawa keluar mangsa berikutan keadaan jalan tidak dapat dilalui kenderaan biasa.

“Pada waktu itu, setiap hari terdapat dalam empat bas kita sediakan untuk bawa rakyat Malaysia keluar dan hantar mereka sehingga ke Changlun, Kedah. Mereka kemudian dibantu oleh rakan strategik kami untuk dihantar ke destinasi seterusnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN