IPOH: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran enggan mengulas lanjut berhubung saman sivil yang difailkan keluarga pelajar Tingkatan Empat yang maut ditikam pada Oktober tahun lalu.
Beliau berkata, perkara itu membabitkan Kementerian Pendidikan, selain pihaknya tidak mempunyai fakta lengkap berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata, perkara tersebut di bawah Kementerian Pendidikan dan pihaknya tidak mempunyai fakta penuh berkaitan perkara berkenaan.
“Saya tidak mahu membuat kesimpulan terlalu awal. Bagaimanapun, tindakan kerajaan dan pihak polis akan mengikut proses biasa, melainkan berlaku sesuatu yang luar biasa.
“Jika berlaku sesuatu yang luar biasa, kita akan memberi tekanan kepada pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Madani Kita 2026 Bersama Komuniti Buntong di Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Jalan Sungai Pari, di sini hari ini.
Semalam, ibu Yap Shing Xuen dilaporkan telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa agensi kerajaan serta ibu bapa suspek yang mengakibatkan kematian anaknya di sebuah sekolah di Damansara.
Tindakan undang-undang itu difailkan pada 1 Oktober lalu menerusi Tetuan Surendra Ananth, dengan menamakan beberapa agensi kerajaan, ibu bapa kepada remaja lelaki yang membunuh Shing Xuen dan remaja lelaki terbabit sebagai defendan.
Dalam kenyataannya, keluarga berkenaan percaya tragedi menimpa Shing Xuen boleh dielakkan sekiranya pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya, khususnya dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, Kulasegaran berkata, ibu bapa perlu diberikan bimbingan supaya lebih memahami keperluan anak-anak, termasuk berkaitan isu kesihatan mental.
Menurutnya, perkara itu antara yang ditekankan menerusi satu program di Serdang, Selangor semalam, yang dihadirinya bersama lebih 1,000 ibu bapa.
“Program itu dijalankan selama 10 minggu, dengan sesi selama tiga jam pada setiap Sabtu atau Ahad, bagi memberikan bimbingan kepada ibu bapa untuk mengetahui dan memahami keperluan anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan dalam mendisiplinkan anak-anak juga sudah berubah berbanding dahulu, termasuk tidak lagi menggunakan hukuman fizikal seperti rotan.
“Ketika saya membesar dahulu, kami biasa dirotan. Sekarang, rotan tidak lagi boleh digunakan,” katanya. –UTUSAN











