Cubaan pemindahan 63 lembu tanpa kebenaran gagal - Utusan Malaysia

Cubaan pemindahan 63 lembu tanpa kebenaran gagal

LORI membawa 63 lembu hidup tanpa kebenaran berjaya ditahan di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cubaan membawa keluar 63 ekor lembu hidup dari Kelantan ke Lembah Klang tanpa kebenaran melalui laluan Cameron Highlands terbongkar apabila lori yang membawa haiwan berkenaan ditahan pihak berkuasa dalam operasi awal pagi tadi.

Operasi bersepadu itu dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dengan kerjasama Cawangan Risik Briged Utara dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, hasil risikan yang dijalankan hampir seminggu.

Timbalan Pengarah JPV Perak, Dr. Rohaiza Yahaya berkata, kenderaan terbabit ditahan antara pukul 1 hingga 2 pagi di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dari arah Simpang Pulai menghala ke selatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bagi pemindahan 63 ekor lembu berkenaan.

“Keseluruhan bahagian belakang kenderaan turut ditutup menggunakan kanvas, dipercayai bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa dan mengelakkan kegiatan itu dikesan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil risikan yang dijalankan membolehkan pasukan penguat kuasa mengesan pergerakan kenderaan berkenaan sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, tindakan itu berjaya menghalang ternakan berkenaan daripada dibawa ke destinasi yang ditetapkan tanpa mematuhi prosedur pemindahan ternakan.

“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 36(1), Akta Binatang 1953 [Akta 647].

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 atau hukuman sebagaimana diperuntukkan di bawah akta berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, JPV Perak akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pemindahan ternakan tanpa kebenaran serta memastikan pergerakan ternakan mematuhi peraturan dan prosedur ditetapkan.

“Kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasaan lain turut akan diperkukuhkan bagi memastikan kawalan pergerakan ternakan di negeri ini berada pada tahap optimum,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN