PETALING JAYA: Naskah drama bersiri popular, Good Boys Go to Heaven (GBGTH) bakal mewakili Malaysia dalam kategori Drama Bersiri Terbaik di anugerah berprestij, Asian Academy Creative Awards (AACA).
Pencalonan itu meletakkan drama tersebut setanding dengan naskah hebat dari 12 negara Asia lain yang akan bersaing merebut trofi tersebut pada kemuncak anugerah berkenaan, Disember ini.
Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, pengarahnya, Ariff Zulkarnain menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan kemenangan itu sebagai satu bentuk penghargaan buat seluruh warga kerja yang telah bertungkus-lumus di belakang tabir.
“Saya merasa sangat gembira dengan perkhabaran ini. Saya menganggap kemenangan di peringkat Nasional ini adalah hadiah buat seluruh tenaga kerja produksi yang telah berjuang bersama-sama dalam menghasilkan GBGTH.
“Selain itu, ia juga adalah dedikasi buat para penonton yang tidak henti-henti menyokong siri ini, serta terima kasih kepada pihak Astro Shaw dan Indigo Films atas kepercayaan besar yang diberikan kepada saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagi Ariff, GBGTH bukan sekadar sebuah projek komersial, sebaliknya ia merupakan sebuah karya yang sangat peribadi buat dirinya memandangkan dia terlibat secara langsung dalam pelbagai fasa pembikinan.
“Projek ini bersifat peribadi kerana saya terlibat dalam penghasilan idea asal, pengarahan sehingga ke peringkat penerbitan. Banyak emosi dan ‘rasa’ yang tumpah sepanjang proses naskah ini disiapkan.
“Secara peribadi, saya memang menggemari karya yang mengangkat isu-isu sosial dan elemen realisme. Jadi, menghasilkan siri seperti GBGTH ini boleh diibaratkan sebagai terjemahan jiwa dan raga saya sebagai seorang anak seni,” jelasnya lagi.
Siri GBGTH sebelum ini pernah mencuri perhatian ramai dan mencetuskan fenomena tersendiri sepanjang tempoh tayangannya.
GBGTH bakal bersaing dengan drama terbaik dari 12 negara Asia antaranya Goolagong (Australia), Lagend of the Magnate (China), Before the End (Hong Kong), Raakh (India), Wajah Cinta yang Lain (Indonesia), Alice in a Borderland musim ketiga (Jepun).
Turut sama berentap ialah Bon Appetit Your Majesty (Korea), Mar Yar (Myanmar), The Silent Noise (Filipina), Decalcomania (Singapura), Dogma (Taiwan), Goddes Bless you From Death (Thailand).











