PARIT BUNTAR: Seramai 980 bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Parit Buntar dijangka menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selepas bekas ketua bahagian itu memilih parti berkenaan sebagai wadah baharu perjuangan politik mereka.
Penyelaras Parti Pejuang Parit Buntar, Md. Nayan Salleh berkata, beliau secara rasmi telah menyertai Pejuang dan menjangkakan bekas ahli Bersatu yang sebelum ini bersamanya akan turut mengambil langkah sama.
“Bekas ahli Bersatu seramai 980 orang akan bersama saya menyertai Pejuang nanti,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Md. Nayan, keputusannya memilih Pejuang dibuat selepas melihat pendekatan parti itu yang disifatkannya lebih tenang dan memberi tumpuan kepada perjuangan untuk kepentingan masyarakat berbanding perebutan kuasa.
“Saya memilih Pejuang kerana saya nampak parti ini lebih tenang, tidak begitu berebut-rebut kuasa. Saya tidak nampak mereka gila kuasa, sebaliknya lebih mementingkan masyarakat. Sebab itu saya tertarik dengan cara perjuangan ini,” katanya.
Beliau berkata, struktur organisasi Pejuang Parit Buntar kini dalam proses pembentukan susulan pelantikannya sebagai penyelaras, termasuk merancang lantikan kepimpinan serta menggerakkan parti di 32 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan berkenaan.
Katanya, selain 980 bekas ahli Bersatu berkenaan, Pejuang Parit Buntar menyasarkan untuk meningkatkan jumlah keahlian kepada kira-kira 2,000 orang dalam tempoh empat bulan akan datang bagi memperkukuhkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.
“Kita perlu tambah ahli sebanyak mungkin dan mungkin bukan sekadar 980 orang. Sasaran saya ialah 2,000 ahli dalam tempoh empat bulan akan datang. Dengan kekuatan yang ada, kita boleh membantu parti-parti yang sehaluan dengan kita,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Pejuang meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Md. Nayan berkata, perkara itu belum menjadi keutamaan kerana tumpuan ketika ini adalah melaksanakan gerak kerja dan memberi khidmat kepada masyarakat.
“Kami belum sampai ke tahap hendak memikirkan soal menjadi calon. Kita mahu bekerja untuk rakyat dan biar rakyat nampak kita boleh bekerja. Apabila kita bekerja nanti, mereka sendiri boleh menilai sama ada kita layak ataupun tidak,” katanya.
Md. Nayan berkata, Pejuang Parit Buntar juga bersedia memberi sokongan kepada parti yang sehaluan sekiranya mereka tidak bertanding di sesuatu kawasan pada pilihan raya akan datang, selain mahu menjadi penghubung dalam membawa permasalahan rakyat kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan.
Pada Ogos lalu, Bersatu Bahagian Parit Buntar dibubarkan selepas kepimpinan bahagiannya mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai, dengan Md. Nayan yang ketika itu Ketua Bersatu Bahagian Parit Buntar berkata, seramai 980 ahli daripada 15 cawangan dijangka turut meninggalkan parti itu. – UTUSAN











