TUMPAT: “Setiap hari saya beli sebungkus nasi pada waktu tengah hari. Separuh saya simpan untuk makan malam sepanjang tiga minggu di Universiti Sains Malaysia (USM).”
Demikian cerita Siti Noor Hidayatul Hidayah Sudin, 20, apabila ibu bapanya hanya mampu memberikan wang saku RM300 ketika menghantarnya ke USM di Pulau Pinang.
Katanya, itu sahaja simpanan yang ada kerana telah membayar yuran pendaftaran sebanyak RM850 bagi mengikuti pengajian Sarjana Muda Pendidikan Khas.
Katanya, yuran pengajian sebanyak RM1,232 belum dijelaskan meskipun sudah tiga minggu belajar di USM.
“Jika ibu dapat pinjam dengan saudara-mara, dia akan kirim wang dalam masa terdekat untuk jelaskan yuran pengajian tersebut,” katanya menerusi panggilan video semasa kunjungan Ahli Majlis Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Che Muhammad Redzuan Jihad di rumahnya di Kampung Bunohan di sini.
Siti Noor Hidayatul Hidayah berkata, dia rela mengikat perut kerana tidak mahu menyusahkan ibunya, Ramlah Abdul Rahman, 52, yang tidak dapat berjalan sejak empat tahun lalu selepas menjalani pembedahan kaki kiri akibat penyakit kencing manis.
Katanya, demi membiayai pengajiannya, ibunya yang berkerusi roda gigih membuat kuih bersama bapanya, Sudin Matsan, 63.
Bagi Ramlah, doanya sentiasa mengiringi Siti Noor Hidayatul Hidayah yang bercita-cita mahu menjadi seorang pendidik meskipun berdepan masalah kewangan.
“Wang simpanan sudah habis digunakan untuk rawatan perubatan saya.
“Walaupun menghadapi kekangan kewangan, saya tahu anak saya kuat semangat untuk menempuhnya,” katanya.
Sementara itu, Che Muhammad Redzuan berkata, GPMS akan menyalurkan maklumat kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) USM untuk membantu Siti Noor Hidayatul Hidayah termasuk wang saku, baki yuran dan sumbangan komputer riba.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB 7657421192, Siti Noor Hidayatul Hidayah. – UTUSAN











