Kafe Donna, destinasi pencinta aiskrim yogurt

Kafe Donna, destinasi pencinta aiskrim yogurt

Wan Noraini Wan Majid yang mewarnai dunia makanan dan minuman (F&B)sejak 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAFE Donna merupakan tempat lepak yang menarik bagi penggemar aiskrim dan croffle di Alor Setar, Kedah.

Jika anda berada di bandar raya ini dan tekak merasakan ingin menikmati sesuatu yang manis dan nyaman, kafe ini wajib dikunjungi. Kafe yang selesa ini juga menjadi salah satu kedai aiskrim yang popular dan unik di Alor Setar ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Kafe Donna yang dimiliki usahawan bumiputera, Wan Rohani Wan Majid, 40, berkonsepkan aiskrim yogurt yang boleh dipadankan dengan pelbagai taburan atau sos pilihan.

KAFE DONNA

Lokasi: 2020, Jalan Langgar, Alor Setar.
Waktu Operasi: 12 tengah hari hingga 10 malam

Sama seperti jenama antarabangsa, Donna memberi kebebasan kepada pelanggan untuk mencipta pencuci mulut mengikut selera masing-masing.

Apa yang menarik, rasa yogurt aiskrim Donna tidak terlalu masam dan tidak terlalu kuat rasa susunya menjadikannya lebih mudah dinikmati walaupun bagi mereka yang tidak biasa dengan yogurt.

Pelanggan hanya perlu memilih saiz kemudian menambah ‘topping’ kegemaran sebelum disudahi dengan pilihan sos yang menambahkan lagi rasa. Antara pilihan yang tersedia termasuk pistachio, coklat gelap, pelbagai kacang dan sos seperti strawberi serta coklat hazelnut.

Namun, jika mahu mencuba sesuatu yang menjadi identiti Donna, pilihan sos pistachio antara yang patut diberi perhatian.

Sos pistachio itu adalah buatan sendiri oleh krew Donna di dapur pusat mereka dekat Jitra dengan rasa kacang yang lebih terserlah apabila digabungkan dengan aiskrim yogurt yang dingin dan lembut atau croffle.

Menariknya, konsep Kafe Donna bukan sekadar menyediakan pencuci mulut yang cantik untuk sesi bergambar atau swafoto tetapi memberi pengalaman kepada pelanggan memilih sendiri kombinasi rasa yang diinginkan.

Daripada topping rangup seperti granola dan kacang kepada buah-buahan serta coklat, setiap mangkuk boleh tampil dengan kombinasi berbeza.
Harga pula bermula sekitar RM9.90, manakala pilihan bersaiz keluarga boleh mencecah sekitar RM65 bergantung kepada pilihan dan saiz.

Dengan ruang makan berkapasiti 30 pengunjung yang selesa, Kafe Donna turut sesuai dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Kafe berkenaan juga beroperasi sehingga 10 malam menjadikannya satu lagi pilihan untuk mereka yang mahu mencari pencuci mulut selepas makan malam.

Di sebalik Donna adalah Wan Rohani, yang mempunyai pengalaman panjang dalam dunia perniagaan sebelum memberi tumpuan kepada bidang makanan dan minuman.

Menurut Pengarah Donna Sdn. Bhd. ini, Kafe Donna kini mempunyai dua cawangan termasuk di Jitra yang mula beroperasi sejak 2022.

“Di Alor Setar, Kafe Donna lebih besar dan selesa untuk pengunjung datang, menikmati aiskrim serta bersantai. Selain itu kita turut menyediakan kaunter pandu lalu bagi memudahkan pelanggan,” katanya.

Bagi memastikan keyakinan pelanggan, Kafe Donna turut memberi perhatian terhadap aspek halal termasuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM ) serta menitikberatkan pemilihan bahan dan proses pengen­dalian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN