Kemarahan Datuk A. Aida memuncak apabila dia dituduh menjadi ‘kabel’ kepada penglibatan anaknya, Azeva dalam dunia seni tanah air.
Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Namun sayangnya A. Aida tidaklah sampai beliau rela menjadi batu loncatan untuk anak masuk ke dunia hiburan.
Sebaliknya, A. Aida melihat potensi yang ada dalam diri Azeva sehingga beliau membuat keputusan untuk melaburkan wang yang banyak demi menonjolkan lagi Azeva di mata masyarakat.
Nampaknya marah betul Datuk dalam Thread baru-baru ini?
Memang itu soalan guna kabel yang pertanyaan bodoh ditanyakan kepada saya. Saya seorang penerbit, juga seorang usahawan. Tak akanlah saya hendak laburkan peruntukan yang besar untuk seseorang yang tak ada aura atau tarikan? Bagi saya Azeva ada aura tersendiri, sebab itu saya sanggup laburkan dana yang besar untuk angkat dia.
Orang nak kata dia guna kabel, cakaplah apa pun, ada saya kisah?
Dakwaan menjadi kabel itu Datuk setuju atau tidak?
Dulu kakaknya yang sulung itu, saya pernah minta rakam lagu bersama komposer Eddie Hamid. Namun saya batalkan hasrat itu sebab ada yang kurang pada tone suaranya. Ini membuktikan saya tidak menjadi ‘kabel’ kepada anak-anak saya. Mereka berbakat, jadi tanggungjawab saya untuk menyerlahkan apa yang mereka ada. Selain berbakat dalam bidang lakonan dan nyanyian, Azeva juga cemerlang dalam pengacaraan. Azeva ini saya mahu dia menjadi penyanyi dan pelakon. Saya tidak tefikir pula dia berbakat menjadi pengacara, itu benar-benar di luar jangkaan saya.
Kalau Astro tidak memberi peluang, saya pun tidak tahu yang bakat itu ada dalam dirinya.
Nampaknya Datuk betul-betul berhabis duit demi Azeva.
Walaupun dia pendatang baharu, Alhamdulillah lakonannya sampai ke hati penonton. Itu yang saya syukuri. Jika ada sedikit kekurangan, kita ‘halalkan’. Tiada manusia yang sempurna.
Apa pesanan yang Datuk tinggalkan kepada Azeva?
Saya sentiasa berpesan kepada Azeva, kalau dia berhasrat menjadi pelakon, dia kena perbaiki lakonannya. Sertailah kelas yang dianjurkan. Begitu juga nyanyian, saya kerap mengingatkan dia tentang hal ini. Pelakon yang profesional pun sampai sekarang masih belajar berlakon. Inilah usaha yang dia kena ambil kalau dia mahu berjaya. Ilmu harus digali untuk menjadikan kita lebih baik.
Dengarnya Datuk telah wujudkan syarikat untuk Azeva kendalikan, bernarkah?
Sebagai ibu, saya sokong apa sahaja perkara baik yang Azeva lakukan. Sebaik sahaja saya sedar daripada koma, dia terus bersetuju untuk menyanyi dan berlakon.
Sejak itu saya terus tulis skrip filem untuk mengangkat dia sebagai heroin, hasilkan lagu tema untuk dia nyanyikan dan buka syarikat produksi (Hello Production Sdn Bhd) untuk dia usahakan. Saya serahkan kepada dia untuk uruskan semuanya.
Filem Bisikan Dosa menjadi naskhah pertama yang diterbitkan Hello Production. Kenapa isu bapa rogol anak yang diketengahkan?
Cerita ini diadaptasi daripada realiti masyarakat. Berlaku bapa rogol anak dan pada masa sama ibunya melihat sahaja kejadian itu berlaku.
Saya juga merujuk filem Indonesia, Ipar Adalah Maut. Ceritanya klise, tanggungjawab kita untuk mengolah kepada sebuah kisah yang menarik untuk difilemkan.
Filem ini menggabungkan pelbagai unsur, ada aksi, sedih dan gembira. Saya juga mengambil inspirasi filem Tamil untuk menulis skrip filem Bisikan Nafsu ini. Ternyata penulisan saya berjaya menghiburkan penonton.










