Kesibukan membina kerjaya dalam bidang seni tidak menghalang penyanyi, Ismail Izzani untuk meluangkan masa melakukan aktiviti yang memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badannya.
Menurut Ismail yang lebih mesra disapa sebagai Mael, sukan padel kini menjadi pilihannya untuk kekal aktif, selain memberi ruang kepadanya untuk berehat seketika daripada rutin sebagai anak seni.
“Selain muzik dan nyanyian, sekarang fokus saya sudah berubah sedikit kerana tiba-tiba mula ketagih dengan satu sukan iaitu padel. Sudah hampir setahun saya bermain dan sukan ini sangat bagus kerana membuatkan saya kekal aktif serta cuba menjalani kehidupan lebih sihat.
“Secara tidak langsung, padel juga membantu saya tidur lebih awal. Dahulu saya memang suka berjaga malam. Sekarang kalau bermain pada waktu malam, selepas tamat sesi memang penat. Balik sahaja, terus tidur,” katanya kepada Pancaindera.
Dalam pada itu, Mael menyifatkan tarikan padel terletak pada keunikan permainannya yang menggabungkan elemen tenis dan skuasy.

“Secara ringkasnya, pickleball boleh diibaratkan seperti pingpong yang dimainkan di gelanggang, manakala padel pula seperti gabungan skuasy dan tenis.
“Bukan hendak mengatakan padel lebih mencabar kerana kedua-duanya berbeza. Tetapi kalau pernah bermain pickleball kemudian mencuba padel, memang akan terasa perbezaannya. Apabila sudah memahami cara permainannya, memang boleh ketagih,” jelasnya.
Bukan sekadar bermain untuk mengisi masa lapang, minat Mael terhadap padel turut membawanya menyertai beberapa pertandingan berskala kecil demi menguji kemampuan diri dan keluar dari zon selesa.
“Sukan padel ini mula berkembang di sini sejak tahun lalu. Saya juga ada menyertai Persatuan Padel Malaysia (MPA) untuk membantu mengembangkan lagi sukan ini di negara kita. Ini kerana di negara Asia lain sukan ini sudah mula dikenali dan kukuh.
“Saya juga pernah menyertai beberapa pertandingan yang berskala kecil sehingga berjaya naik ke podium.Tetapi, saya masuk ke dunia sukan ini bukan kerana mahu menjadi pemain profesional. Bukan itu tujuannya. Cuma saya sedar sukan ini membantu kita mencabar diri sendiri,” jelasnya.

Pada masa sama, penyanyi berusia 26 tahun itu tidak menafikan padel masih dianggap sebagai sukan yang memerlukan kos tinggi oleh sesetengah pihak kerana jumlah gelanggang di Malaysia masih terhad.
“Kalau hendak kata padel mahal, ia bergantung kepada keadaan. Di Indonesia, disebabkan sukan ini sudah berkembang dengan sokongan kerajaan dan masyarakat, gelanggang padel boleh menjadi lebih murah.
“Sebagai contoh, satu jam di sana mungkin sekitar RM60 hingga RM70, manakala di sini boleh mencecah RM100 dan ke atas.
“Ini kerana permintaan tinggi sedangkan jumlah gelanggang masih belum banyak. Sebab itu Persatuan Padel Malaysia dan saya sendiri sedang cuba memperkenalkan sukan ini dengan lebih meluas supaya ia terus berkembang,” katanya.
Tidak terhenti di situ, penyanyi lagu Bidadari itu turut berkongsi hasratnya untuk menjayakan sebuah kejohanan padel membabitkan selebriti Malaysia dan Indonesia pada tahun depan.
“Di Indonesia, artis seperti Rizky Febian, Mahalini dan ramai lagi bermain padel. Jadi, saya bersama rakan-rakan sedang cuba merealisasikan acara ini dan pada masa sama memperkenalkan sukan tersebut kepada masyarakat di negara kita.
“Orang mungkin datang kerana mahu melihat artis kegemaran mereka, tetapi apabila melihat artis bermain, secara tidak langsung mereka dapat merasakan keterujaan sukan padel.
“Kalau ada rezeki, saya mahu acara itu diadakan berskala besar, sekurang-kurangnya 10 artis dari Malaysia dan 10 dari Indonesia,” ujarnya.











