Baru pertama kali muncul di layar, namun pelakon baharu, Chech Harith, 23, sudah mula meraih perhatian peminat menerusi watak Mazli dalam siri Kudrat 1968: High Council.
Karakter yang ceria, banyak celoteh dan mencuit hati itu menjadi antara watak yang mencuri tumpuan penonton sejak episod awal, sekali gus memperkenalkan nama Chech dalam dunia lakonan skrin selepas sekian lama aktif dalam pementasan teater.
Chech yang mengakui masih dalam fasa bereksperimen dengan karakter berkenaan berkata, dia sendiri ingin melihat sejauh mana Mazli mampu membuatkan penonton jatuh hati.
“Saya pun tengah bereksperimentasi sebenarnya. Saya pun hendak tahu maklum balas, adakah orang akan jatuh hati? Kalau jangkaan saya, saya rasa orang akan jatuh hati sebab saya pun sudah dapat maklum balas daripada pengarah dan rakan-rakan lakon juga.
“Jadi, saya jangka begitu, tapi kalau tidak jatuh hati pun tak apa, saya akan cuba lagi. Insya-Allah, kalau ada apa-apa maklum balas mengenai cara lakonan, saya terbuka sahaja,” katanya.
Watak Mazli turut mengundang perbandingan dengan karakter Ayam yang pernah dilakonkan Naim Daniel menerusi Projek: High Council, terutama daripada segi gaya percakapan dan sifatnya yang banyak celoteh.
Namun, Chech menganggap perbandingan itu sebagai sesuatu yang tidak perlu dielakkan kerana Mazli mempunyai sisi tersendiri yang akan diperlihatkan menerusi episod seterusnya.
“Sejujurnya, untuk dibandingkan dengan Naim Daniel daripada segi pembawaan adalah sesuatu yang saya rasa jujur. Tapi ada perbezaan dengan karakter Ayam. Mungkin daripada segi gaya bercakap, dia macam banyak celoteh dan mungkin itu yang sama, tapi ada sedikit lain yang mungkin tidak tertonjol sangat di episod satu ini.
“Jadi, anda semua kena nantikanlah di episod-episod seterusnya. Apa yang membezakan itu. Tapi, kalau hendak dibandingkan dengan Naim Daniel, saya rasa macam, saya jujurlah. Alhamdulillah,” ujarnya.

Bagi Chech, cabaran terbesar membawa watak Mazli bukan sekadar mendapatkan sisi lucu karakter berkenaan, sebaliknya memastikan penonton mampu menyayangi dan menerima watak tersebut.
Katanya, pengalaman bersama rakan-rakan banyak membantu dalam membentuk perwatakan Mazli, selain memberinya rujukan untuk menghidupkan karakter berkenaan.
“Saya rasa mudah sebab saya ada kawan-kawan. Saya banyak curi ‘perangai’ mereka, slanga dan banyak rujuk watak-watak daripada kawan-kawan saya. Jadi, saya rasa mudah bila saya boleh ada sesuatu yang saya boleh tiru.
“Tapi, saya tidak tahu pula yang watak Mazli ini juga ada bahagian susah, iaitu untuk menjadi seorang yang disayangi. Saya rasa macam itu sesuatu yang kita perlu bangunkan sendiri. Kita tidak boleh tiru siapa-siapa dan kita memang kena rasa benda itu dan cuba untuk selesa ‘disukai’,” katanya.
Pelakon muda ini juga berkata, pengalaman di pentas teater sedikit sebanyak membantunya menyesuaikan diri dengan lakonan di hadapan kamera, selain memberi ruang untuknya terus mengembangkan kemampuan sebagai pelakon.
“Bukan pertama kali saya berlakon, tapi ini debut sayalah untuk penampilan di skrin. Sebelum ini saya banyak terlibat dengan teater,” katanya.
Menariknya, Chech turut mengakui dia tidak mahu terlalu mengejar reaksi penonton, khususnya ketika melakonkan babak yang bertujuan mencetuskan ketawa.
Sebaliknya, reaksi penonton yang ketawa dan menikmati babak Mazli dianggap sebagai satu bentuk penerimaan terhadap karakter tersebut.
“Saya tidak kejar orang supaya orang kena gelak pada bahagian ini, sebab saya rasa apabila kita cuba untuk buat orang gelak, susahlah. Macam hendak buat orang menangis senang, tapi mahu buat orang gelak susahlah.
“Jadi, saya tidak kejar benda itu, tapi bila saya dapat reaksi daripada penonton, daripada gelak tawa mereka, saya harap itulah satu bentuk kasih sayang ataupun bukti yang mereka terjatuh hati juga dengan karakter Mazli,” katanya.
Walaupun mula dikenali menerusi watak komedi, Chech tidak mahu dirinya terikat dengan satu genre sahaja.
Dia terbuka sekiranya dilabel sebagai pelakon komedi, namun pada masa sama mahu meneroka lebih banyak sisi lakonan pada masa akan datang.











