KUALA LUMPUR: Penganugerahan Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP) kepada Datuk Seri Farhash Wafa Salvador perlu dibincangkan secara matang dan berasaskan fakta, bukannya persepsi atau apa yang tular di media sosial.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, Farhash merupakan penerima tunggal PYGP bagi tahun 2026 dan mendahului senarai 779 penerima Darjah, Bintang dan Pingat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-57, iaitu pengurniaan rasmi oleh institusi diraja Kelantan.
Katanya, mereka yang mempersoalkan kelayakan beliau perlu melihat keseluruhan rekod beliau, bukan hanya apa yang mereka ketahui atau tidak ketahui mengenai dirinya.
“Dari sudut akademik dan profesional, rekod korporat menunjukkan Farhash memiliki Ijazah Kepujian dalam Business Administration dan Master of Science in Finance daripada University of Portsmouth, selain Executive Certificate in Public Leadership daripada Harvard Kennedy School.
“Beliau juga mempunyai lebih sedekad pengalaman dalam bidang perniagaan, konsultansi dan advisory, melibatkan sektor seperti pembinaan, teknologi, perhotelan serta makanan dan minuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah, katanya, rekod korporat turut menunjukkan beliau mempunyai pengalaman sebagai pemimpin dan ahli lembaga dalam beberapa syarikat, termasuk syarikat tersenarai awam. Profil korporat juga menyatakan beliau mempunyai lima paten yang memenangi anugerah di beberapa negara.
Jadi, katanya, persoalan sebenar bukanlah “kenapa orang seperti Farhash menerima anugerah?” tetapi lebih wajar ditanya: apakah keseluruhan jasa, sumbangan dan rekod beliau yang telah dinilai oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk mengurniakan anugerah tersebut?
“Kita boleh bertanya dan kita boleh berbeza pandangan. Tetapi untuk mengatakan seseorang itu tidak layak, kita perlu membawa fakta dan asas yang kukuh bukan sekadar kerana kita tidak mengenali keseluruhan perjalanan hidup atau sumbangannya.
“Pada akhirnya, kita harus menghormati institusi penganugerahan dan pada masa yang sama mengekalkan budaya perbahasan awam yang matang,” katanya.
Oleh itu, katanya, jangan jadikan ketidakcukupan maklumat sebagai alasan untuk membuat kesimpulan. Kita mungkin tidak tahu keseluruhan jasa seseorang, tetapi itu tidak bermakna jasa tersebut tidak wujud. – UTUSAN











