Tiga acara besar meriahkan Lembah Klang hujung minggu ini

Tiga acara besar meriahkan Lembah Klang hujung minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembah Klang bakal menjadi tumpuan peminat sukan hujung minggu ini apabila tiga acara besar membabitkan perlumbaan Formula Satu (F1), maraton dan berbasikal berlangsung di Sepang, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Antara acara yang dinanti-nantikan ialah Grand Prix Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 yang berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober di Litar Antarabangsa Sepang.

Menurut laporan media tempatan, hampir 100,000 tiket terjual menjelang perlumbaan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa sama, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 berlangsung pada 3 dan 4 Oktober dengan Dataran Merdeka menjadi lokasi mula dan tamat larian.

Penganjuran maraton itu melibatkan penutupan sejumlah jalan utama di pusat bandar serta sebahagian laluan lebuh raya.

Menurut hebahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja akan ditutup sepenuhnya dari pukul 8 malam Jumaat, 2 Oktober hingga pukul 3 petang Ahad, 4 Oktober bagi urusan persiapan dan pengemasan acara.

Pada Sabtu, penutupan jalan bagi acara larian 10 kilometer (km) dan 5km turut melibatkan antaranya Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu, dari pukul 5 hingga 10 pagi.

Bagi acara maraton penuh dan separuh maraton pada Ahad pula, penutupan lebih meluas membabitkan 30 segmen jalan.

Mulai pukul 11 malam Sabtu, penutupan turut melibatkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak serta sebahagian laluan Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) arah utara menuju Jalan Duta.

Laluan di ketiga-tiga lebuh raya berkenaan dijadualkan dibuka semula pada pukul 11 pagi Ahad.

Kebanyakan jalan lain di pusat bandar akan ditutup mulai pukul 3 pagi Ahad sebelum dibuka semula secara berperingkat antara pukul 6.30 hingga 9.30 pagi.

Bagaimanapun, beberapa laluan termasuk Jalan Kuching, Bulatan Segambut, Jalan Tun Razak berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jalan Kinabalu dan Bulatan Dato Onn kekal ditutup sehingga pukul 11 pagi.

Sementara Kuala Lumpur menjadi tumpuan pelari, Putrajaya pula menjadi lokasi penamat edisi ke-30 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 pada 4 Oktober, menerusi peringkat akhir dari Muar ke Putrajaya.

Perlumbaan berbasikal yang bermula dari Shah Alam pada 27 September itu membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km merentasi lapan peringkat.

Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif susulan penganjuran acara berkenaan serta penutupan jalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×