KUALA LUMPUR: Rumah sampah bernilai RM200,000 yang dibina di Kampung Baru Pulau Redang di Terengganu dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua bulan lagi.
Ini bagi memastikan pengurusan sisa pepejal di pulau peranginan itu lebih teratur dan terkawal.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lizan Che Mat berkata, semua sampah yang dikutip dari pulau itu akan ditempatkan dalam ruang tertutup bagi mengelakkan berlakunya limpahan sampah di kawasan terbuka.
Katanya, sampah yang dikumpulkan di rumah sampah akan dikutip setiap hari sekitar pukul 10 atau 11 pagi sebelum dihantar ke Pusat Pelupusan Sisa (PPS) Sungai Ikan.
“Rumah sampah ini akan berfungsi sepenuhnya dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi. Semua sampah akan ditempatkan di sini supaya tidak berlaku limpahan di kawasan terbuka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 26 Julai lalu, Mingguan Malaysia menerbitkan laporan bertajuk ‘Neraka’ sampah di pulau peranginan yang membongkar lambakan sampah di dasar dan pesisir laut Kampung Baru Pulau Redang, termasuk sisa yang dipercayai hanyut dari luar negara.
Susulan pendedahan itu, MBKT melaksanakan operasi pembersihan menggunakan dua bot berkapasiti 12 tan bagi mengutip sampah di sekitar pulau berkenaan.
Lizan berkata, pembinaan rumah sampah itu turut memberi manfaat daripada aspek kebersihan apabila sisa pepejal tidak lagi terdedah kepada persekitaran.
“Rumah sampah ini akan melindungi sampah daripada terdedah di tempat terbuka, sekali gus menjadikan kawasan ini lebih bersih.
“Pada masa sama, ia dapat mengelakkan haiwan seperti anjing, kucing dan haiwan lain berkeliaran untuk mencari sumber makanan,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan itu merupakan antara usaha memperkemas pengurusan sisa pepejal di Pulau Redang yang menjadi antara destinasi pelancongan utama di Terengganu.
Katanya, pengurusan sampah yang lebih sistematik penting bagi memastikan kebersihan dan kelestarian alam sekitar pulau berkenaan terus terpelihara.-UTUSAN











