Umie Aida tabur ulat sebenar - Utusan Malaysia

Umie Aida tabur ulat sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Umie Aida, berkata dia sendiri meminta pihak produksi untuk menyediakan ulat sebenar sebagai prop tambahan bagi menjayakan karakter Puan Sri Asyikin yang disihir.

Kongsi Umie, 53, dia mahu melakukan demikian bagi memastikan adegan The Hidden Hand akan memberikan kesan lebih realistik dan menyeramkan.

“Saya sendiri yang minta ulat itu. Saya mahu buat sesuatu yang memberikan klimaks dan kelainan dalam babak tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita fikir juga ulat tahap mana yang boleh masuk TV. Kalau bab dukun atau rasuk ini, tidak boleh keterlaluan sangat, jadi saya tanya ulat jenis bagaimana yang sesuai dan mahu lakukannya.

“Akrobatik pun saya buat sendiri. Saya kan lincah,” selorohnya ketika ditemui semasa sidang media The Hidden Hand, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai watak Puan Sri Asyikin iaitu wanita berhijab yang mendera orang gaji, Umie berkata dia membawakan karakter seorang isteri yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat meskipun hidup dalam kemewahan.

Tekanan hidup akibat dikhianati suami yang mempunyai hubungan sulit akhirnya mengheret wanita itu ke kancah syirik dan bisikan syaitan.

“Kekuatan dia adalah suaminya. Apabila dia dapati suaminya cuba curang atau mengkhianatinya, di situlah muncul perasaan kesumat, dengki dan khianat.

“Apabila tiada pegangan hidup, dia mula mendengar bisikan syaitan dan menggunakan mandram untuk memikat hati suaminya semula. Malah, dia melepaskan tekanan itu dengan mendera pembantu rumah dan anak-anak,” jelas Umie.

Tambah Umie, drama berkenaan turut menjadi peringatan kepada penonton untuk berhati-hati dalam berkata kerana lisan boleh menghancurkan hidup seseorang.

“Berhati-hatilah ketika berkata-kata walaupun kita tidak tahu siapa yang kita tuju. Kadang-kadang kita rasa benda itu sekadar gurauan, tapi ia mengguris hati orang sehingga dia sakit hati dan tidak boleh tidur malam.

“Psikologi manusia era sekarang sangat sensitif. Cuit sikit boleh melenting. Jika tidak mampu bercakap benda yang baik, lebih baik tutup mulut. Nilai kemanusiaan sekarang semakin menipis,” pesannya.

Drama The Hidden Hand atau Dia Perempuan Sialan kini ditayangkan menerusi aplikasi Viu yang turut dijayakan Meerqeen, Caitlin Halderman,
Hannah Delisha dan Amerul Affendi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×