Lantikan di UKM tiada kaitan dengan politik - Shahrol Shiro - Utusan Malaysia

Lantikan di UKM tiada kaitan dengan politik – Shahrol Shiro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN kerana politik, jauh sekali lantikan atas pengaruh mana-mana pihak, sebaliknya peluang menjadi tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hadir selepas kira-kira enam bulan perbincangan mengenai bagaimana seni komedi boleh dimanfaatkan untuk membantu membentuk kemahiran mahasiswa.

Itu penegasan pelawak, Shahrol Shiro atau Shahrol Azizie Azmi, 42, bagi menjawab persepsi segelintir pihak yang mempersoalkan pelantikannya sebagai tenaga pengajar di universiti berkenaan bagi sesi 2026/2027.

Shahrol berkata, tawaran tersebut tidak datang secara tiba-tiba atau diberikan sewenang-wenangnya, sebaliknya bermula daripada perbincangannya bersama pihak UKM mengenai usaha membawa Temasya Komedi Rakyat ke institusi pengajian tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak tahu dari mana datangnya persepsi itu kerana memang tidak ada kena-mengena dengan politik. Langsung tidak ada! 

“Saya rasa mungkin sebab saya terlibat dengan dunia politik dan jenama politik itu kuat atau ada yang tidak puas hati dengan politik, jadi bila saya buat benda apa-apa pun dia tidak suka. Ini pula saya dapat peluang macam ini, jadi ada ruang untuk mereka menyerang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, anak jati Kluang, Johor ini berkata, dia tidak dapat menutup mulut orang daripada terus memperkatakan mengenai isu ini meskipun dari pihaknya, penerangan sudah dibuat.

“Jika tetap ‘berbunyi’, saya nak buat apa? Itu adalah persepsi yang mereka fikirkan. Mungkin ia merupakan naratif yang dibuat oleh individu yang tidak berpuas hati dari sudut politik. Apabila seseorang tidak menyukai sesuatu dari sudut politik, dia membawa naratif tersebut ke arah itu. Sudah tentu masih ada beberapa orang yang mempercayai persepsi tersebut.

“Tugas saya adalah menerangkan perkara sebenar supaya isu ini tidak menjadi lebih buruk. Saya sudah jelaskan bahawa perkara tersebut tiada kena-mengena, dari A sampai Z.Malah, saya tahu ada yang mempertikaikan latar belakang atau pengalaman saya.

“Tidak perlu saya memberitahu seorang demi seorang tentang pengalaman diri. Tetapi di media sosial, saya tetap menghasilkan karya bersama rakan-rakan. Saya juga terus menyokong perkembangan komedi tanah air tanpa jemu,”katanya.

Kongsi Shahrol, selepas Temasya Komedi Rakyat berjaya dilaksanakan di Kuantan, Pahang, dia mula membawa program itu ke beberapa universiti termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UKM.

Katanya, pertemuan dengan Profesor Dr Norinsan di UKM kemudiannya membuka ruang untuknya berkongsi pandangan mengenai perkembangan industri komedi serta potensi seni berkenaan diterapkan dalam kehidupan, khususnya dalam membentuk kemahiran komunikasi mahasiswa.

“Daripada awal saya bercerita mengenai industri komedi dan apa yang berlaku dalam industri tersebut, saya juga terdetik untuk bertanya mengenai Citra kerana saya lihat ia boleh dibawa ke lapangan. Saya tanya, ‘Prof, tak ada ke Citra yang ke arah komedi sebab UKM ini antara universiti terawal mengangkat seni komedi?’.

“Apabila saya lihat ada Citra Seni Lakon, saya fikir kenapa tidak ada komedi kerana komedi juga ada tekniknya sendiri. Saya rasa ia boleh diajar kepada pelajar untuk melatih keberanian, kemahiran bercakap di hadapan orang dan macam-macam lagi,” katanya.

Shahrol berkata, dia melihat komedi sebagai satu bentuk latihan yang bukan sekadar bertujuan menghiburkan, malah boleh membantu seseorang membina keberanian dan keyakinan ketika berhadapan dengan orang lain.

Menurutnya, kebolehan berkomunikasi dengan baik merupakan antara kemahiran penting yang diperlukan mahasiswa, terutama apabila mereka perlu membuat pembentangan, berinteraksi dengan orang ramai atau berdepan dengan situasi di alam pekerjaan.

“Komedi ini boleh melatih keberanian dan pengucapan awam, selain membantu pelajar berlatih macam-macam lagi kerana nanti di lapangan ia lebih berguna. Bukannya saya kata Citra lain tidak berguna, tetapi bila awak perlu buat pembentangan atau berjumpa orang, kemahiran bercakap itu sangat penting.

“Kalau awak boleh masukkan sedikit komedi dalam percakapan, tidaklah awak bercakap secara mendatar. Bukan bermaksud buat benda yang melampau, tetapi hiburan sedikit itu boleh membantu dan pada saya ia juga boleh membina keyakinan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrol mengakui membaca sebahagian komen orang ramai di media sosial selepas berkongsi mengenai tawaran berkenaan.

“Saya dapat maklum balas dan ada yang saya baca sedikit-sedikit, ada yang menghentam dan ada yang menyokong, itu lumrah. Kalau kita keluarkan satu pendapat atau kenyataan, kita kena bersedia untuk kenyataan itu ditolak, tidak diterima atau lebih lagi diuji.

“Kalau kita tidak mahu dapat perkara macam itu, kita kena diam dan tidak berkata-kata. Sedangkan dengan isteri pun, dua kepala sahaja, bila keluarkan pendapat boleh bergaduh, ini pula kita lemparkan satu pendapat kepada 30 juta rakyat Malaysia, jadi wajarlah ada yang sokong dan ada yang tidak suka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×