KUALA LUMPUR: Aset di bawah pengurusan (AUM) KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) kini melonjak kepada kira-kira RM2.2 bilion, sekali gus melepasi sasaran RM2.0 bilion yang ditetapkan bagi tahun 2027 lebih awal daripada dijangkakan.
Pencapaian penting itu dicapai susulan pengambilalihan pusat beli-belah Setapak Central Mall daripada Festiva Mall Sdn. Bhd., yang turut memperkukuh kedudukan KIP REIT dalam segmen runcit komuniti berdaya tahan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT Management Sdn. Bhd., Valerie Ong berkata, pengambilalihan strategi berkenaan mencerminkan fokus berterusan syarikat terhadap pertumbuhan berkualiti tinggi dan pengukuhan portfolio hartanah berteraskan komuniti.
“Setapak Central ialah aset matang dengan kadar pengisian hampir 100 peratus serta hasil hartanah yang amat menarik iaitu sebanyak 7.2 peratus. Pengambilalihan ini telah membawakan AUM KIP REIT kepada RM2.2 bilion, mengatasi sasaran RM2.0 bilion kami bagi tahun 2027.
“Langkah ini amat sejajar dengan strategi kami untuk melabur dalam pusat beli-belah matang yang memenuhi keperluan harian penduduk sekitar.
“Walaupun pusat beli-belah ini sudah berprestasi baik, kami melihat peluang untuk terus menambah nilai menerusi pengurusan aset proaktif, pengoptimuman campuran penyewa serta penambahbaikan terancang demi memberikan pulangan jangka panjang yang mampan,” katanya dalam kenyataan.
Pengambilalihan ini berlangsung di tengah-tengah kehangatan pasaran pelaburan runcit Malaysia yang mencatatkan aktiviti keseluruhan bernilai kira-kira RM7 bilion sepanjang tahun 2025 sehingga separuh pertama 2026, dengan pusat beli-belah kejiranan menyumbang 13 peratus daripadanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Pasaran Modal JLL Malaysia, Janice Chin berkata, transaksi berkenaan mencerminkan minat berterusan pelabur institusi terhadap aset runcit berteraskan barangan keperluan harian yang menawarkan aliran tunai stabil.
“Aset seperti Setapak Central Mall memberikan pendapatan berdaya tahan sejak hari pertama berkat kadar pengisian yang hampir penuh. Urus niaga ini menandakan keyakinan tinggi terhadap sektor hartanah runcit Malaysia yang terbukti berdaya tahan melangkaui pelbagai kitaran pasaran,” katanya.
Setapak Central Mall merupakan pusat beli-belah tiga tingkat dengan kemudahan tempat letak kereta bawah tanah di kawasan matang Setapak, serta mengekalkan kadar pengisian melebihi 99 peratus.
Pasukan Pasaran Modal JLL Malaysia bertindak sebagai penasihat eksklusif kepada Festiva Mall Sdn. Bhd. bagi transaksi ini, yang juga merupakan urus niaga ketiga mereka bersama KIP REIT.
Prospek sektor runcit kejiranan terus dilihat positif berikutan trend urbanisasi dan keutamaan pengguna terhadap pusat beli-belah berorientasikan kemudahan harian. – UTUSAN









