KUALA LUMPUR: Festival Filem Asia Pasifik ke-63 (APFF63) dan Festival Kebudayaan Filem China-Malaysia ke-4 (CMFCF) akan digabungkan dalam satu festival berkembar yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Mac 2027.
Penganjuran bersama itu menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama perfileman serantau, pertukaran budaya serta jaringan antara penggiat industri Malaysia, China dan negara-negara Asia Pasifik.
Kedua-dua festival dianjurkan Yayasan Antarabangsa Yu On dengan kerjasama LOMO Pictures dan Asia Pacific International Arts Festival.
Penganjuran APFF di Malaysia itu juga merupakan kali ketiga berturut-turut, manakala gabungan dengan CMFCF menjadi yang pertama bagi kedua-dua festival berkenaan.
Ditubuhkan pada 1954, APFF mempunyai sejarah panjang sebagai platform yang mengetengahkan karya perfileman terbaik dari rantau Asia Pasifik, selain menggalakkan hubungan persahabatan, persefahaman dan jaringan profesional dalam kalangan penggiat industri.
CMFCF pula memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan kebudayaan dan perfileman antara Malaysia dengan China menerusi filem, pertukaran kreatif dan jaringan industri.
Penasihat APFF63 merangkap Pengerusi CMFCF, Mr. Aron Koh berkata, kerjasama itu bukan sekadar mengadakan dua festival pada tarikh dan lokasi yang sama, sebaliknya menggabungkan kekuatan kedua-duanya bagi memberikan pengalaman lebih luas kepada penonton serta komuniti perfileman.
“Festival berkembar ini memberi peluang untuk membawa filem dan budaya perfileman lebih dekat kepada masyarakat, bukan hanya menerusi pengalaman menonton di pawagam.
“Kami mahu festival ini menjadi ruang pertemuan yang menghubungkan pembikin filem, penggiat industri, penonton dan komuniti budaya,” katanya.

Menurut beliau, pihak penganjur turut meneroka pelbagai pendekatan untuk menghubungkan festival dengan identiti kreatif Kuala Lumpur, termasuk penggunaan ruang awam serta penglibatan ekosistem kebudayaan bandar raya.
Dalam perkembangan sama, bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman, dilantik sebagai salah seorang juri APFF63.
Sementara itu, Setiausaha Agung Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA), Panchacharam Nalliah atau Pansha, menyatakan sokongan terhadap penganjuran APFF63 serta kesinambungan festival berkenaan di Malaysia.
APFF63 turut menampilkan tayangan khas yang memberi penghormatan kepada pengarah terkenal Hong Kong, Clifton Ko Chi-Sum, atas sumbangan beliau kepada perkembangan sinema Hong Kong.
Tayangan tersebut menjadi sebahagian daripada program yang meraikan kepelbagaian dan warisan perfileman Asia, selain memberi peluang kepada penonton mengimbau karya pengarah berpengalaman itu.
Pengarah aksi dan pelakon Malaysia, Ayez Shaukat pula bakal menerima FPA Rising Icon Award (Male).
Anugerah itu mengiktiraf bakat yang sedang menyerlah dalam industri perfileman serantau, selain mencerminkan usaha APFF dalam mengetengahkan generasi baharu pembikin filem dan bakat seni layar Asia.
Menjelang penganjuran pada Mac tahun depan, pihak penganjur turut merancang kerjasama dengan institusi kebudayaan dan diplomatik, sektor awam dan swasta, industri kreatif, institusi pendidikan dan belia, media serta sektor pelancongan dan hospitaliti.
Kerjasama itu dijangka membuka lebih banyak ruang untuk apresiasi filem, jaringan profesional, pertukaran budaya serta penglibatan masyarakat.











