SEOUL: Tentera Korea Selatan menuntut Korea Utara memohon maaf selepas tiga anggotanya cedera akibat letupan periuk api di Zon Demilitarisasi (DMZ) yang memisahkan kedua-dua negara pada 21 September lalu.
Korea Selatan pada Selasa berkata, letupan yang berlaku di bahagian DMZ dalam wilayahnya itu berkemungkinan besar berpunca daripada periuk api yang dipasang Korea Utara.
Seoul turut memberi amaran akan mengambil langkah sewajarnya susulan kejadian yang disifatkannya sebagai pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang telah berkuat kuasa selama beberapa dekad.
Bagaimanapun, Korea Utara menafikan bertanggungjawab terhadap letupan berkenaan dan menyifatkan dakwaan Seoul sebagai tidak berasas serta usaha untuk meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea.
Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menuduh Korea Selatan mereka-reka dakwaan itu sebagai satu bentuk provokasi politik dan ketenteraan.
Kim menafikan dakwaan bahawa anggota Korea Utara menyeberangi sempadan untuk memasang periuk api berkenaan, menyifatkannya sebagai dakwaan sengaja dan dirancang untuk mengalihkan tanggungjawab terhadap peningkatan ketegangan” kepada Korea Utara.
Dalam kenyataan yang disiarkan media kerajaan pada Rabu, beliau turut memberi amaran kepada Korea Selatan supaya bersedia membayar harga atas sandiwara yang mereka cipta sendiri.
Korea Selatan berkata, periuk api itu dipercayai dipasang Korea Utara sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan di sempadannya.
Dalam kenyataan pada Rabu, Seoul menuntut Korea Utara memohon maaf atas letupan berkenaan serta menghentikan serta-merta aktiviti memperkukuh pertahanan di sepanjang sempadan.
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kang Shin-chul, sebelum ini berkata pada Selasa bahawa letupan itu merupakan ‘pelanggaran jelas’ terhadap perjanjian gencatan senjata 1953 yang menghentikan pertempuran dalam Perang Korea.
Perjanjian berkenaan membawa kepada penubuhan DMZ selebar kira-kira empat kilometer (2.5 batu), iaitu kawasan penampan yang menempatkan Garisan Demarkasi Tentera sebagai sempadan darat antara kedua-dua Korea.
Sejak beberapa dekad lalu, pertempuran kecil dan letupan periuk api berlaku secara berkala di kawasan DMZ.
Pada 2015, dua anggota tentera Korea Selatan cedera parah akibat letupan periuk api ketika melakukan rondaan di kawasan itu.
Korea Selatan ketika itu mendakwa periuk api berkenaan dipasang secara rahsia oleh tentera Korea Utara berhampiran sebuah pos kawalan Korea Selatan, namun Pyongyang menafikan dakwaan tersebut.- AGENSI











