Universal Music Malaysia dominasi AIM25, raih 13 trofi - Utusan Malaysia

Universal Music Malaysia dominasi AIM25, raih 13 trofi

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universal Music Malaysia (UMMY) bersama rakan strategiknya melakar kejayaan besar pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) apabila menguasai 10 daripada 23 kategori utama, selain meraih tiga kemenangan dalam kategori pra-anugerah.

Pencapaian itu menyaksikan ekosistem UMMY dan rakan strategiknya membawa pulang keseluruhan 13 daripada 31 anugerah kompetitif yang dipertandingkan pada edisi jubli perak AIM, bersamaan 41.93 peratus daripada keseluruhan kategori berkenaan.

Antara rakan strategik terbabit ialah SN Legacy Sdn. Bhd., Alternate Records, Aisha Retno Entertainment, MLQ Entertainment Sdn. Bhd., Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd., Faithful Music, Trigger Happy Records dan XO House.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan paling menyerlah dicatat Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membawa pulang empat trofi, termasuk Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma.

Beliau turut memenangi kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik menerusi Cenderamaya.

Karya Pesanan Buat Diri pula mencipta kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai Lagu Tradisional Terbaik sebelum turut memenangi kategori paling berprestij, Lagu Terbaik.

Kemenangan lain membabitkan Bila Sampai Waktu ciptaan Faizal Tahir dan Ezra Kong di bawah Faithful Music bagi kategori Lagu Rock Terbaik.

Lagu Tanya Tuhan oleh Yonnyboii dan Malique, terbitan EMI Malaysia serta Def Jam Recordings Malaysia, pula memenangi Lagu Rap/Hip Hop Terbaik.

Sementara itu, Matahari Malaya hasil ciptaan MC Syze, Noh Salleh dan Kidd Santhe, yang diterbitkan Trigger Happy Records bersama Universal Music Malaysia, dinobatkan sebagai Lagu Perpaduan Terbaik.

Kejayaan berkenaan mencerminkan kepelbagaian karya dalam ekosistem UMMY dan rakan kerjasamanya yang merangkumi pelbagai genre, bahasa serta kelompok pendengar, termasuk muzik tradisional, rock, hip hop dan muzik berbahasa India.

Dalam kategori pra-anugerah pula, Seni Berdamai Dengan Takdir terbitan XO House dan Universal Music Malaysia menerima pengiktirafan sebagai Lagu Paling Tinggi Distrim.

Pencapaian itu sekali gus menggambarkan sambutan pendengar terhadap karya berkenaan di platform digital.

Dalam pada itu, legenda rock negara, Ella, menerima Anugerah Sri Wirama sebagai penghormatan terhadap sumbangan, pencapaian dan pengaruh besar beliau dalam perkembangan industri muzik tanah air.

Anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan khas yang berasingan daripada 31 kategori kompetitif yang dipertandingkan pada AIM25.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, pencapaian 10 daripada 23 kategori utama dan 13 daripada 31 kategori kompetitif itu amat bermakna kepada pihaknya.

“Ia bukan sekadar tentang jumlah kemenangan, tetapi merupakan pengiktirafan terhadap kreativiti, keberanian dan kerja keras para artis, pencipta lagu, penerbit, pemuzik, label rakan kongsi serta seluruh pasukan di belakang setiap karya,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu turut membuktikan kerjasama strategik antara syarikat rakaman, label tempatan, artis dan komuniti kreatif mampu membina ekosistem muzik Malaysia yang lebih kukuh serta berdaya saing.

“Kemenangan daripada pelbagai genre dan bahasa memperlihatkan keluasan serta kekayaan muzik Malaysia.

“Kami juga amat berbangga dengan Anugerah Sri Wirama yang diterima Ella. Keaslian, keberanian dan legasi beliau telah membuka jalan serta menjadi inspirasi kepada begitu ramai penggiat muzik daripada pelbagai generasi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, berkata beliau turut berbangga dengan pengiktirafan yang diterima Ella.

“Sebagai seorang yang telah berkecimpung dalam industri muzik selama 38 tahun, saya amat berbangga dengan segala pencapaian Ella.

“Kami berbesar hati kerana dapat terus memasarkan dan memperluaskan jangkauan katalog muzik beliau yang merentasi pelbagai era, bermula ketika bersama Warnada Sdn. Bhd. sehingga kini bersama Universal Music Malaysia.

“Keupayaan karya-karya Ella untuk terus diterima dan mendapat sambutan membuktikan kekuatan legasi serta relevansi beliau yang kekal merentas generasi,” katanya.

Universal Music Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua artis, komposer, penulis lirik, penerbit, pengarah, pemuzik dan pasukan produksi yang menyumbang kepada penghasilan karya berkenaan.

Penghargaan turut ditujukan kepada peminat dan pendengar atas sokongan berterusan terhadap artis, karya serta muzik tempatan di pelbagai platform.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×