KUALA LANGAT: Selangor bakal memperkenalkan undang-undang kecil (UUK) yang mewajibkan caj beg plastik sekali guna sebanyak 20 sen oleh peniaga kepada pelanggan masing-masing bagi mengurangkan kesan pembuangan bahan tidak terbiodegradasi itu.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, peniaga yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan tegas termasuk kemungkinan permit atau lesen perniagaan mereka terjejas.
Katanya, bagaimanapun dasar tersebut masih di peringkat penilaian oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Selangor sebelum dimuktamadkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“UUK berkenaan bakal menjadikan Selangor negeri pertama melaksanakan peraturan khusus yang mewajibkan premis perniagaan mengenakan caj beg plastik.
“Sekiranya mana-mana premis contohnya pasar raya, kedai yang menggunakan plastik tidak mengenakan caj tersebut, mereka perlu mematuhinya atau berdepan tindakan susulan,” katanya ketika ditemui Majlis Perasmian Projek Tempat Letak Kereta Berbumbung Panel Solar Renesas Semiconductor KL Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri belum memutuskan sebarang kenaikan caj 20 sen itu kerana keutamaan ketika ini adalah memastikan semua premis mematuhi ketetapan sedia ada.
Katanya, pelaksanaan caj tersebut setakat ini masih banyak bergantung kepada kesediaan sukarela premis perniagaan, termasuk rangkaian peruncit.
“Esok, saya akan bertemu dengan PUU untuk melihat sama ada masih terdapat isu atau perkara yang perlu diperhalusi.
“Kita perlukan sedikit masa kerana Selangor akan menjadi negeri pertama melaksanakan UUK ini sekiranya diluluskan dan tiada negeri lain untuk dijadikan rujukan,” ujarnya. – UTUSAN











