PETALING JAYA: Laporan interim hasil kajian Jawatankuasa Khas Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan Felda 2025-2030 (Jawatankuasa Khas HTF30) sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jawatankuasa Khas HTF30 memaklumkan, laporan interim itu diserahkan pada 25 September lalu untuk perhatian dan pertimbangan sewajarnya.
“Jawatankuasa Khas HTF30 merujuk kepada kenyataan media bertarikh 11 September 2026 berhubung penyediaan laporan interim bagi Pelaksanaan Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan Felda 2025-2030.
“Jawatankuasa Khas HTF30 sudah menyerahkan Laporan Interim Pelaksanaan Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan Felda 2025-2030 kepada Perdana Menteri pada 25 September sebagai status terkini untuk perhatian dan pertimbangan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada 10 September lalu, Jawatankuasa Khas HTF30 memaklumkan pihaknya sedang meneliti pelan strategik Kumpulan Felda meliputi aspek hala tuju strategik, operasi, kedudukan kewangan, struktur organisasi dan tadbir urus.
Penubuhan jawatankuasa khas itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 bagi mengkaji dan meneliti pelan strategik yang disediakan pihak Felda.
Jawatankuasa itu memaklumkan, telah mengadakan enam siri mesyuarat bersama pihak berkaitan termasuk Felda bagi meneliti perkara berkaitan hala tuju strategik dan kedudukan semasa kumpulan berkenaan.
Antara perkara yang sedang diteliti jawatankuasa itu termasuk status penyahsenaraian FGV Holdings Berhad serta pembentukan model perniagaan baharu bagi mencapai kelestarian dan kemandirian Felda.
Selain itu, ia turut meliputi cadangan Model Felda Baharu yang menyentuh tanggungjawab organisasi itu terhadap peneroka dan generasi seterusnya.
Jawatankuasa itu juga meneliti isu kelemahan tadbir urus dalam pembelian atau pelaburan lapan aset seperti yang terkandung dalam Kajian Forensik Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019.
Turut diteliti isu premium tanah tertunggak, pendaftaran hak milik dan kedudukan tanah dengan kerajaan negeri.
“Jawatankuasa Khas HTF30 hanya berperanan sebagai badan penasihat, manakala tanggungjawab fidusiari kekal pada Lembaga Pengarah dan pengurusan Felda serta anak syarikat di bawah Kumpulan Felda selaras dengan struktur tadbir urus sedia ada.
“Satu laporan interim yang mengandungi hasil kajian dan cadangan penambahbaikan oleh Jawatankuasa Khas HTF30 akan dikemukakan untuk pertimbangan Perdana Menteri pada penghujung bulan ini,” katanya.
Jawatankuasa Khas HTF30 dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Fuad Md. Ali, manakala Dr. Nungsari Ahmad Radhi bertindak sebagai Pengerusi Bersama.
Keanggotaan jawatankuasa itu turut membabitkan wakil Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Kawal Selia Felda Jabatan Perdana Menteri serta pakar audit daripada Ernst & Young PLT Malaysia dan pakar undang-undang. – UTUSAN











