KUALA LUMPUR: Penganjuran Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 membuka peluang kepada usahawan kraf tempatan bertemu pembeli domestik dan antarabangsa menerusi dua sesi padanan perniagaan (B2B) dari 24 hingga 28 September serta 1 hingga 5 Oktober ini.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) itu mempertemukan usahawan dengan syarikat pengeksport barangan berkaitan kraf, agensi kerajaan dan syarikat perhotelan.
Antara yang menyertai padanan perniagaan berkenaan ialah pembeli korporat antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS), Mauritius, Qatar, Australia, Perancis, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Filipina.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, penganjuran sulung MICF 2026 turut menerima kehadiran lebih 100 pembeli antarabangsa dari lebih 20 negara, selain usahawan kraf dan pemain industri tempatan yang bersedia memasuki pasaran eksport.
“Pertemuan antara pembeli dan pengusaha kraf memberi peluang untuk memperkenalkan hasil kerja mereka serta meneroka kerjasama baharu.
“Setiap perbualan malam ini ialah peluang untuk menghubungkan hasil kraf yang luar biasa dengan peluang baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jaringan Kerjasama sempena MICF 2026 di Hotel Royale Chulan, kelmarin.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Tan Sri Dr. Ong Hong Peng dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali.

Shaharuddin berkata, majlis makan malam berkenaan memberi ruang kepada pembeli, usahawan dan rakan strategik untuk bertemu serta bertukar pandangan selepas mengikuti Program Padanan Perniagaan Antarabangsa dan Pameran.
Beliau mengajak pembeli antarabangsa mengenali pengusaha kraf serta kisah di sebalik hasil ciptaan mereka, dengan harapan pertemuan itu membawa kepada hubungan padanan perniagaan, pembangunan koleksi bersama dan kerjasama yang lebih luas.
“Pada masa sama, usahawan tempatan digalakkan untuk memahami kehendak pembeli antarabangsa, mengetengahkan keunikan hasil kerja masing-masing dan membina hubungan yang berterusan selepas pameran.
“MICF 2026 bertujuan memperkukuh industri kraf, membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa serta memberi peluang kepada pengusaha memperoleh pendapatan berterusan daripada hasil kerja mereka,” katanya.
Beliau berkata, kraf Malaysia merupakan warisan hidup yang merangkumi songket Terengganu, Labu Sayong dari Perak serta hasil kerja buluh dan rotan dari Sabah dan Sarawak.
“Pembelian hasil kraf itu turut membantu mengekalkan kemahiran pengusaha serta menyokong sumber pendapatan mereka,” katanya.
Sementara itu, majlis berkenaan turut diserikan dengan peragaan kraf tekstil bertemakan Threads of Heritage yang menampilkan 33 koleksi busana rekaan usahawan kraf tempatan, usahawan antarabangsa dan pereka Kraftangan Malaysia.
“Usahawan tempatan yang terlibat ialah Ja qa Couture, Bujins L Batik Sdn. Bhd. dan Tanoti, manakala peserta antarabangsa terdiri daripada Boolao dari Indonesia, Vietnam Ao Dai L&D dari Vietnam serta Ish Creation dari Sri Lanka.
“Peragaan yang mengetengahkan warisan tekstil Malaysia dan keunikan tekstil dari negara peserta itu selaras dengan tema MICF 2026, Crafting Heritage, Inspiring Tomorrow,” katanya.

Tetamu kehormat turut menyaksikan demonstrasi batik oleh Abit Batik Enterprise, seni tampal selit oleh Queen L Crafts, anyaman rotan oleh Dwisha Craft dan seramik oleh Jey C Art & Craft.
MICF 2026 berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dari 24 September hingga 5 Oktober, pukul 10 pagi hingga 10 malam. Maklumat lanjut boleh didapati di www.micf.com.my. – UTUSAN











