Dilema Doktor kontrak: Duit habis tetapi tidak ke mana - Utusan Malaysia

Dilema Doktor kontrak: Duit habis tetapi tidak ke mana

KERJAYA sebagai doktor memerlukan komitmen yang tinggi, cekap dan teliti yang hanya boleh dicapai menerusi pengalaman bekerja dan peningkatan latihan dan akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang doktor kontrak sanggup menghabiskan wang hampir RM10,000 untuk menjalani program latihan kepakaran atau collegiate paper bagi bergelar doktor pakar.

Bayaran tersebut antara lain bertujuan membuktikan kepada kerajaan bahawa peperiksaan serta latihan berkenaan dapat melayakkannya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang pembedahan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pegawai perubatan yang dikenali sebagai Dr. Mohamad, 29, berkata, disebabkan masih dalam perkhidmatan kontrak, beliau tidak dapat meneruskan impian menjadi pakar perunding.

Ini ditambah pula dengan program collegiate paper yang masih tidak mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia melainkan beliau menyambung pelajaran peringkat sarjana jika mahu berkhidmat di negara ini.

“Di sini kita masih kekurang­an tenaga pengajar untuk me­latih pelatih-pelatih perubatan. Sebab itu saya hanya menduduki peperiksaan dengan harapan jika kerajaan mahu membuat lantikan tetap, saya ada sebab kukuh untuk diserap.

“Jika tidak, saya boleh pergi ke luar negara seperti Ireland atau United Kingdom untuk meneruskan khidmat pakar. Cuma, saya tidak mahu meninggalkan Malaysia. Doktor muda juga disarankan menduduki peperiksaan ini yang kononnya boleh jadi insentif diserap secara tetap dalam perkhidmatan.

“Di Malaysia memang ada saluran menjadi pakar melalui parallel pathway tetapi ia hanya melibatkan disiplin-disip­lin perubatan tertentu sahaja tidak termasuk pembedahan dan kosnya pula atas tanggu­ngan sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menerusi semakan resit bayaran peperiksaan diberikan kepada Utusan Malaysia mendapati, Dr. Mohamad yang mengambil peperiksaan di The Royal College of Surgeons of Edinburgh telah membayar 495 GBP (RM2,835.64) untuk pepe­riksaan klinikal MRCS bahagian A dan 997 GBP (RM5,711.38) bagi peperiksaan klinikal OSCE bahagian B yang masing-masing bertarikh 9 Januari 2018 dan 18 Januari 2020.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, walaupun tahu kesan­nya, beliau tetap menyertai mogok hujung bulan jika tiada keputusan muktamad dari kerajaan untuk memastikan doktor kontrak terutama yang bakal menamatkan khidmat tahun ini diserap secara tetap. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×