Harimau Malaya buntu jaring gol lawan 10 pemain, Indonesia parking bas

Harimau Malaya buntu jaring gol lawan 10 pemain, Indonesia parking bas

ARIF Aiman Hanapi berjaya melepasi kawalan pertahanan Indonesia pada aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN FIFA di Stadium di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), malam ini.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya terlepas peluang keemasan untuk mencerahkan laluan ke peringkat separuh akhir selepas sekadar mencatat keputusan seri 0-0 menentang Indonesia, sebentar tadi.

Dalam aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta itu, skuad negara gagal memanfaatkan kelebihan beraksi menentang 10 pemain lawan selama hampir sejam selepas Thom Haye dibuang padang pada babak pertama.

Jentera serangan negara jelas buntu mencari gol apabila berdepan lawan yang lebih banyak ‘parking bas’ bagi mengekang asakan bertali-arus Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…
BARISAN Kesebelasan utama skuad Harimau Malaya ketika menentang Indonesia.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe sekadar meraih satu mata di gelanggang keramat Indonesia.

Beraksi dalam suasana penuh tekanan di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah yang memenuhi stadium, Malaysia dikejutkan seawal minit keempat apabila Justin Hubner menolak masuk bola hasil kekalutan di depan pintu gol negara.

Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan pengadil dari Korea Selatan, Hyung Jin Ko selepas mendapati berlaku kesalahan dalam gerakan tersebut, sekali gus menyelamatkan Harimau Malaya daripada dibolosi awal.

Malaysia kemudian mula menemui rentak permainan dengan Arif Aiman Hanapi menjadi ancaman utama kepada benteng Garuda menerusi larian dan gerakan pantasnya dari bahagian sayap.

Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu hampir memecah kebuntuan pada minit ke-12 menerusi aksi individu yang memukau, namun rembatan rendahnya berjaya ditepis penjaga gol Indonesia, Maarten Paes.

Empat minit kemudian, giliran Bergson da Silva pula berpeluang meletakkan Malaysia di hadapan selepas menerima hantaran daripada Faisal Halim, namun penyerang naturalisasi itu gagal melakukan sentuhan kemas untuk menewaskan Paes.

Ketika Indonesia cuba meningkatkan tekanan menerusi Ole Romeny dan Ragnar Oratmangoen, benteng negara yang diketuai kapten Dion Cools berjaya menyerap segala asakan dengan tenang.

Detik yang mengubah corak permainan hadir pada minit ke-35 apabila Haye melakukan terjahan keras ke atas Arif Aiman.

Pengadil pada awalnya melayangkan kad kuning sebelum semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dilakukan dan keputusan ditukar kepada kad merah, memaksa Indonesia meneruskan baki perlawanan dengan hanya 10 pemain.

Kehilangan pemain tengah berpengaruh itu memaksa pengendali Indonesia, John Herdman, menyusun semula taktikal pasukannya dengan memasukkan Ivar Jenner bagi memperkukuhkan bahagian tengah sambil mengurangkan ancaman serangan.

BERGSON di kawal ketat pertahanan Indonesia.

Walaupun Harimau Malaya menguasai permainan selepas itu, Malaysia tetap gagal mencari sentuhan penyudah yang diperlukan untuk memecahkan benteng tuan rumah yang bertahan secara berdisiplin.

Malah, Indonesia hampir menghukum Malaysia apabila Dean James memperoleh ruang melakukan percubaan berbahaya menjelang tamat babak pertama, namun Syihan Hazmi bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus meningkatkan intensiti serangan sehingga memaksa Indonesia berkampung di kawasan sendiri namun beberapa peluang dicipta gagal disempurnakan jentera serangan Harimau Malaya.

Kemasukan Paulo Josue sebagai pemain gantian juga masih gagal merobek gawang Indonesia yang dikawal kemas Paes.

Pada penghujung perlawanan, Malaysia hampir memecah kebuntuan gol menerusi rembatan Cools namun benteng Indonesia sekali lagi menafikan percubaan itu.

Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia meneruskan rekod tanpa kalah dalam kempen kali ini selepas memulakan saingan dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, manakala Indonesia turut mengekalkan momentum positif selepas menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi pembukaan.

Dari sudut kedudukan kumpulan, satu mata mungkin belum menjejaskan peluang Harimau Malaya, namun kemenangan pasti memberi kelebihan besar dalam perebutan tempat teratas Kumpulan A yang kini semakin sengit.

Dengan Indonesia kehilangan Haye akibat penggantungan dan Malaysia masih mempunyai baki perlawanan penting selepas ini, segala-galanya masih terbuka.

Perlawanan akhir nanti menyaksikan Malaysia turun menentang Singapura pada Khamis ini di Bandung manakala Indonesia berdepan Bangladesh dengan kemenangan besar bakal menentukan pasukan mana mara ke final Piala ASEAN FIFA.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×