30 surat pengesahan nikah palsu Thailand setiap tahun

30 surat pengesahan nikah palsu Thailand setiap tahun

AHMAD Fahmi Ahmad Sarkawi dalam Program Ramah Mesra Konsul Jeneral Malaysia bersama pelajar Sekolah Agama Islam Sirithamwittaya (Pondok Duku), Kampung Duku, Daerah Bacho, Narathiwat, Thailand. – UTUSAN/RAZALI ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Pe­jabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla mengesan antara 20 hingga 30 surat pengesahan sijil nikah palsu setiap tahun membabitkan pasangan rakyat Malaysia yang melangsungkan perkahwi­nan di Selatan Thailand.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, ia terbongkar apabila Mahkamah Syariah di Malaysia membuat semakan silang dengan pihak konsulat ketika pasangan terbabit cuba mendaftarkan perkahwinan mereka.

Katanya, Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla masih mengesan kegiatan pemalsuan dokumen berkenaan meskipun jumlah sindiket pernikahan di Selatan Thailand semakin berkurangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap pasangan yang men­daftarkan pernikahan di pejabat konsulat diberi surat pengesahan bagi membuktikan sijil nikah yang dikeluarkan oleh majlis agama Islam di Selatan Thailand adalah sah.

“Namun, masih ada pihak tertentu yang memalsukan surat pengesahan berkenaan. Secara purata, kami mengesan antara 20 hingga 30 surat pengesahan palsu setahun.

“Surat palsu itu dikesan selepas Mahkamah Syariah membuat rujukan silang dengan pihak kami ketika pasangan terbabit cuba mendaftarkan pernikahan di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Ramah Mesra Konsul Jeneral Malaysia bersama pelajar Sekolah Agama Islam Sirithamwittaya (Pondok Duku), Kampung Duku, Daerah Bacho, di sini.

Ahmad Fahmi berkata, pihak konsulat turut mengesan pasangan rakyat Malaysia yang memasuki Selatan Thailand secara haram tanpa menggunakan pasport dan pas lawatan untuk me­langsungkan pernikahan.

Katanya, semua majlis agama Islam di Selatan Thailand sudah diminta supaya tidak menikahkan pasangan yang memasuki negara berkenaan tanpa melalui saluran sah.

Ahmad Fahmi berkata, pihak konsulat juga tidak melayan permohonan pendaftaran pernikahan atau mengeluarkan surat pengesahan sijil nikah kepada pasangan yang menggunakan khidmat sindiket atau melanggar undang-undang Malaysia dan Thailand.

“Kami telah meminta majlis agama Islam di Selatan Thailand supaya tidak menikahkan pasangan ini. Mereka juga tidak boleh mendaftarkan pernikahan di Pejabat Konsulat Jeneral untuk mendapatkan surat pengesahan daripada kami.

“Tanpa surat pengesahan ini, pasangan terbabit sukar untuk mendaftarkan pernika­han mereka di mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia. Kegagalan mendaftarkan pernikahan akan menyebabkan pasangan itu berdepan masalah lebih besar sekiranya mereka memperoleh anak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×