PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki negara enggan leka dengan kemenangan besar 5-0 ke atas China sebaliknya perlu mengawal emosi dan memastikan tahap kecergasan berada pada paras terbaik menjelang aksi separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Khamis ini.
Ketua jurulatih negara, Brendon Carolan berkata, kemenangan ke atas China dalam aksi terakhir Kumpulan B sememangnya memberi suntikan keyakinan, namun saingan kalah mati menuntut pemain lebih tenang kerana kesilapan kecil mampu mengubah hala tuju perlawanan.
Katanya, pemain perlu segera melupakan keputusan tersebut dan mengalihkan fokus kepada proses pemulihan bagi memastikan mereka cukup bersedia dari segi fizikal dan mental untuk perlawanan separuh akhir.
“Kita perlu mengurus emosi dan bersedia secara fizikal. Dalam perlawanan kalah mati, satu kesilapan kecil boleh memberi kesan besar terhadap peluang untuk mara ke final.
“Saya gembira untuk para pemain. Dalam tempoh lima atau enam tahun kebelakangan ini, ada beberapa perlawanan penting yang mengecewakan kami apabila China memperoleh beberapa keputusan besar menentang kami.
“Jadi, sangat baik dari segi mental untuk kami turun ke padang, mempamerkan aksi yang mantap dan menamatkannya dengan kemenangan,” katanya selepas aksi terakhir di Stadium Gifu Prefectural Green, semalam.
Malaysia muncul juara Pool B selepas menundukkan China 5-0 menerusi jaringan Fitri Saari, Akhimullah Anuar Esook, Ashran Hamsani, Faizal Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal.
Carolan bagaimanapun tidak mahu kemenangan tersebut menjadi beban atau membuatkan anak buahnya terbawa-bawa dengan momentum berkenaan ketika menghadapi cabaran lebih besar di peringkat separuh akhir.
Sebaliknya, pengendali kelahiran Ireland itu mahu pemain menggunakan kemenangan tersebut sebagai pencetus keyakinan, selain memastikan tempoh rehat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pemulihan.
Dengan aksi kalah mati semakin hampir, Speedy Tigers kini hanya mempunyai satu sasaran iaitu mengekalkan fokus, mengawal emosi dan turun ke padang dengan persediaan terbaik bagi memburu tiket ke final. – UTUSAN











