GUNUNG JERAI: Jasch Lennart mengukir sejarah baharu Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila menjadi pelumba pertama menakluki Gunung Jerai selepas muncul juara Peringkat 2 dari Taiping, semalam.
Lebih manis buat pelumba Tudor Pro Cycling Team itu, kemenangan dalam perlumbaan sejauh 145.6 kilometer (km) turut membolehkannya merampas jersi pendahulu keseluruhan (GC) daripada Matteo Malucelli (XDS Astana Team).
Lennart, 26, mempamerkan kayuhan bertenaga pada pendakian terakhir apabila melancarkan serangan ketika perlumbaan berbaki kira-kira dua kilometer untuk meninggalkan kelompok pendaki di belakang.
Pelumba Jerman itu kemudian mengekalkan kayuhan sehingga ke garisan penamat untuk merekodkan masa 3 jam 37 minit 21 saat, meninggalkan Abel Balderstone (Caja Rural-Seguros RGA) di tempat kedua dengan perbezaan 16 saat.
Rakan sepasukan Balderstone, Jan Castellon pula melengkapkan podium apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan ketinggalan 32 saat.
“Sudah tentu saya sangat gembira. Baru seminggu lalu saya memenangi perlumbaan terakhir (Il Giro d’Abruzzo) dan sekarang saya berjaya memenangi dua perlumbaan dalam tempoh yang begitu singkat.
“Kemenangan ini adalah hasil kerja keras pasukan. Mereka melakukan tugas yang sangat hebat dan saya tidak pernah berada lebih jauh daripada kedudukan ketiga ketika pendakian. Ini benar-benar usaha berpasukan yang luar biasa,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Lennart yang pernah menceburi sukan luncur ais sebelum beralih kepada berbasikal bagaimanapun enggan terbawa-bawa dengan kemenangan tersebut, terutama apabila saingan keseluruhan LTdL masih panjang.
Dalam pada itu, Malucelli masih mengekalkan jersi biru selaku Raja Pecut selepas mengumpul 17 mata, manakala Riley Pickrell (Modern Adventure Pro Cycling) di tempat kedua dengan 12 mata dan Fernando Gaviria sembilan mata.
Jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pula menjadi milik Yuhi Tadome dari Aisan Racing Team selepas pelumba itu merekodkan masa keseluruhan 7:49:04s.
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie muncul pelumba Malaysia terbaik dengan catatan 7:49:19s untuk berada di tempat kedua, manakala Tsen Ren Bao di tempat ketiga dengan masa 7:49:43s.
Peringkat 3 LTdL 2026 hari ini menyaksikan peloton meninggalkan Sungai Petani menuju Kuala Kangsar melibatkan laluan sejauh 189.7km yang menawarkan satu zon pendakian di Gerik serta tiga zon pecutan di Kuala Ketil, Lawin dan Sauk. – UTUSAN











