KUALA LUMPUR: Turut berduka cita dengan pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, pelakon, Rozita Che Wan mengenang pertemuan terakhirnya bersama isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, pertemuan tersebut disifatkan sebagai satu kenangan cukup bermakna dalam hidupnya apatah lagi berpeluang berada dekat dengan seorang tokoh wanita yang begitu besar jasanya kepada negara.
“Ada pertemuan yang bukan sekadar tentang sebuah meja dan hidangan, tetapi tentang rasa syukur kerana diberi kesempatan duduk dekat dengan seorang insan yang begitu besar jasanya.
“Hari ini, baru saya sedar mungkin pertemuan itu adalah sebuah kenangan yang Allah hadiahkan untuk saya simpan selamanya,” katanya di Instagram.
Tambah Che Ta, pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar, namun percaya segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkan akan terus dikenang.
“Kelembutan tutur kata, senyuman dan aura seorang wanita yang begitu mulia semuanya masih segar dalam ingatan. Terima kasih Tun, untuk satu pertemuan yang singkat tetapi begitu bermakna.
“Perginya seorang wanita hebat yang telah banyak berjasa kepada negara, tetapi kenangan tentang kelembutan dan kebaikan Tun akan terus hidup dalam hati kami,” tulisnya.
Rozita bagaimanapun turut menitipkan doa agar Allahyarhamah mendapat keampunan dan ditempatkan bersama golongan beriman.
“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mengampuni segala dosa-dosanya dan menempatkan Allahyarhamah bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi hari ini pada usia 100 tahun.
Berita pemergian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Allahyarhamah yang dilahirkan pada 12 Julai 1926 merupakan antara doktor wanita Melayu terawal negara dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam, selain aktif dalam kegiatan berkaitan kesihatan serta kebajikan masyarakat.











