PETALING JAYA: Badminton menutup aksi dengan mengulangi pencapaian edisi lalu iaitu mengekalkan pingat gangsa dan kali ini menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi, Jepun, hari ini.
Pasangan No. 5 dunia itu tewas kepada gandingan No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China 21-16, 20-22, 12-21 dalam masa 1 jam 30 minit pada separuh akhir di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.
Pearly-Thinaah turut menamatkan penantian selama 12 tahun untuk membawa pulang pingat gangsa ke tanah air selepas kali terakhir Vivian Hoo-Woon Khe Wei berbuat demikian pada Temasya Incheon 2014 di Korea Selatan.
Sasaran badminton pada Sukan Asia Aichi-Nagoya adalah pingat perak, namun, sandaran yang diletakkan kepada beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tidak kesampaian setelah mereka tewas di suku akhir.
Mujur Pearly-Thinaah menjadi penyelamat badminton daripada pulang dengan tangan kosong dan pingat gangsa tersebut juga isyarat penting bahawa beregu No. 1 Malaysia itu berjaya keluar daripada kemerosotan prestasi sejak kecederaan belakang Pearly pulih. – UTUSAN











