PUTRAJAYA: Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026–2030 perlu menjadi cara kerja baharu sektor awam dengan memastikan proses, data, aplikasi dan teknologi kerajaan disusun secara bersepadu serta tidak lagi bergerak secara berasingan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar berkata, RPSA memberikan hala tuju untuk bergerak bagi tempoh lima tahun, selain menjadi dokumen kerangka kerja dan panduan strategik transformasi digital sektor awam menerusi tema “Paduan Dinamik Keseluruhan Kerajaan”.
Menurut beliau, RPSA merangkumi lima teras strategik, 18 strategi, 44 program serta 44 sasaran, termasuk penekanan kepada pemantapan keselarian proses melalui Enterprise Architecture (EA) bagi perkhidmatan merentas agensi Persekutuan, negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjelang 2030.
“Ini termasuk penyeragaman proses bagi 19 kluster perkhidmatan Persekutuan, lapan kluster perkhidmatan negeri dan 13 kluster perkhidmatan PBT.
“Angka ini bukan sekadar sasaran di atas kertas. Ia membawa satu mesej yang jelas. Kita perlu duduk bersama di peringkat Persekutuan, negeri, badan berkanun dan PBT untuk mengenal pasti fungsi yang sama, proses yang boleh diseragamkan, data yang boleh dikongsi serta komponen yang boleh digunakan semula sebagai perkhidmatan sepunya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Enterprise Architecture 2026 dan Peluncuran Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, pendekatan itu penting bagi mengurangkan pertindihan, mengawal kos penyelenggaraan dan memastikan setiap ringgit pelaburan digital menghasilkan nilai lebih tinggi kepada rakyat dan kerajaan.
“Mengapa setiap agensi perlu membangunkan perkara yang sama? Mengapa data yang telah dimiliki kerajaan perlu diminta berulang kali? Mengapa rakyat perlu memahami struktur dalaman kerajaan hanya untuk menyelesaikan satu urusan?” ujarnya.
Tambah beliau, RPSA perlu dilihat bersama Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), EA, Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan AI Nation 2030 sebagai sebahagian daripada satu ekosistem transformasi negara. – UTUSAN











