NEW YORK: Puluhan juta penduduk di timur laut Amerika Syarikat (AS) kini berdepan ribut kuat yang membawa banjir besar di pesisir pantai, gangguan bekalan elektrik, kekacauan perjalanan serta pembatalan pelbagai acara di stadium.
Ribut yang dikenali sebagai ‘Nor’easter’ itu membawa “banjir pesisir pantai dan keadaan pantai yang berbahaya, angin kencang serta hujan lebat ke kawasan termasuk New York City dan Boston, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS).
Darurat diisytiharkan di New York dan New Jersey, yang kedua-duanya berdepan banjir besar di beberapa kawasan. Hujan dan angin kencang diramalkan berlaku dari Virginia hingga Maine.
Di Brooklyn, seorang lelaki maut akibat dihempap pokok tumbang, menurut CBS News.
Ribut kuat itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas. Lebih 100,000 isi rumah, hampir kesemuanya di timur laut AS, terputus bekalan elektrik, menurut laman penjejakan PowerOutage.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesyorkan penumpang menyemak status penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan. Lebih 2,400 penerbangan ditangguhkan manakala 1,199 lagi dibatalkan, menurut FlightAware.
Bulan penuh dijangka memburukkan lagi keadaan banjir pesisir pantai. Jalan raya dan rumah ditenggelami air banjir di komuniti pesisir pantai New Jersey, termasuk Surf City dan Manasquan pada Sabtu.
Di New York, pihak berkuasa memberi amaran angin kencang dengan kelajuan sehingga 86 kilometer sejam sepanjang hujung minggu, yang boleh menyebabkan pokok dan talian elektrik tumbang.
“Jangan keluar jika tidak perlu. Jangan memandu atau berjalan meredah air banjir,” kata Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani kepada penduduk menerusi mesej video.
Di kawasan Boston, pasukan besbol Red Sox memindahkan perlawanan terakhir dalam siri mereka menentang Chicago Cubs ke petang Ahad di Florida.
Perlawanan bola sepak profesional antara Red Bull New York dan St Louis City SC turut dibatalkan.
Konsert Global Citizen Festival di Central Park, New York City yang sepatutnya menampilkan Lauryn Hill, Wyclef Jean dan John Legend sebagai artis utama turut dibatalkan.
Konsert Ed Sheeran di Stadium Gillette Boston juga antara acara yang dibatalkan atas faktor keselamatan akibat cuaca buruk.










